Mohd Najwan Halimi (empat kanan) merasmikan Restoran Burg&Go di Seksyen 7, Shah Alam pada 15 Februari 2025. Foto Pejabat EXCO Belia dan Sukan
AGENDANASIONAL

EXCO: Kes simbah asid Faisal Halim jangka dibangkit pada DNS

SHAH ALAM, 15 FEB: Perkembangan kes simbah asid melibatkan pemain bola sepak Selangor FC Faisal Halim dijangka dibangkitkan semula dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bermula 18 Februari ini.

EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata insiden berkaitan Faisal atau ‘Mickey’ itu mungkin akan dipersoal beberapa wakil rakyat termasuk daripada blok pembangkang.

“Saya jangka DNS akan bangkitkan lagi tetapi kita tidak boleh buat ‘assumption’ atau penyataan luar daripada bidang kuasa.

“Setakat ini, kali terakhir polis menghantar surat kepada Kerajaan Negeri memaklumkan siasatan berkaitan Faisal Halim diletak di bawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas pada November tahun lalu,” katanya.

Bercakap pada majlis perasmian Restoran Burg&Go di Seksyen 7, Mohd Najwan turut berharap siasatan tidak dihentikan bagi memastikan individu tidak bertanggungjawab dapat ditahan.

“Polis sudah beri penjelasan dan harap terus beri komitmen tinggi dalam siasatan yang diletak bawah unit berkenaan,” katanya.

Julai tahun lalu, DNS meluluskan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap atlet sukan itu selepas dipersetujui wakil rakyat kerajaan dan pembangkang selain ia dibahaskan lima orang Ahli Dewan Negeri.

Susulan usul tersebut, polis Selangor memaklumkan kes berkenaan diambil alih pasukan khas daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Dalam kejadian 5 Mei tahun lepas, Faisal melecur tahap empat pada beberapa bahagian badan selepas diserang dengan asid oleh individu tidak dikenali di Kota Damansara, Selangor.

Akibat kejadian itu, pemain sayap berkenaan mengalami lecur tahap empat namun kini semakin pulih malah sudah turun beraksi membantu Red Giant dalam beberapa perlawanan.


Pengarang :