Suasana di bazar Ramadan SS6/1, Petaling Jaya pada 5 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Harga tapak bazar Ramadan di PJ berpatutan, tidak beban peniaga

PETALING JAYA, 6 FEB: Peniaga Bazar Ramadan sekitar Petaling Jaya berpuas hati dengan kadar sewaan tapak yang dikenakan tahun ini.

Peniaga cucur udang, Yaman Hakim Zulkifli, 22, berkata caj dikenakan berpatutan serta tidak membebankan selain kadarnya lebih kurang sama dengan tahun sebelum ini.

Yaman Hakim Zulkifli

“Saya sudah berniaga beberapa kali bersama keluarga tapi tahun ini saya ambil permit sendiri. Bayaran dikenakan jualan cucur udang di bazar Kelana Jaya sebanyak RM350 sahaja.

“Harga berpatutan dan tak bebankan. Ini dapat bantu kami berniaga mencari rezeki,” katanya ketika ditemui selepas sesi mencabut undi tapak bazar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.

Nurul Izzah Zulkifli

Sementara itu, Nurul Izzah Zulkifli, 25, yang bakal menjual tauhu bergedil berkata proses cabutan undi berjalan lancar dan dilihat adil kepada semua peniaga.

“Kebanyakannya berpuas hati. Kami dapat lokasi bazar yang dipilih. Harga sewaan tapak juga tidak membebankan,” katanya yang kali pertama berniaga di bazar Ramadan.

Tahun ini, MBPJ menyediakan 1,260 petak bazar di 18 lokasi sekitar daerah ini yang mana setakat ini 1,107 peniaga sudah membuat permohonan membabitkan hampir 88 peratus tapak.

Bagi menggalakkan persekitaran lestari, MBPJ memperuntuk RM30,000 dengan menawarkan kupon digital bernilai RM15 kepada pengunjung yang menggunakan beg kitar semula.


Pengarang :