BUDAYARENCANA

Hikayat Narcissus Moden

Oleh Afrina Aziz
Ilustrasi FAHMI MUSTAFFA

Narsi merupakan seorang gadis yang tinggal di kampung pedalaman. Dek kerana tidak tahan hidup bersama orang tuanya yang hari-hari memaki hamun, menyepak terajang dan memijaknya, dia pun berhijrah ke ibu kota yang memuatkan konkrit-konkrit tegap yang berdiri megah. Narsi mendapat tahu tentang ibu kota kerana sepupunya pernah memberitahu bahawa di sana adalah tempat manusia mengubah taraf hidup.

Pertama kali Narsi tiba, dia berjalan sambil mendongak melihat bangunan-bangunan pencakar langit. Narsi juga seperti peneliti yang handal dalam memerhatikan gelagat warga kota raya; lelaki dan perempuan, lelaki dan lelaki serta perempuan dan perempuan yang bebas berpelukan dan berciuman di khalayak ramai. Apabila Narsi melihat ramai yang berkelakuan seperti itu, Narsi merumuskan bahawa perbuatan tersebut merupakan perbuatan yang normal di kota gah itu.

Kini, misi Narsi adalah untuk mendapatkan pekerjaan. Sebagai seorang yang seperti rusa masuk kampung, Narsi tidak tahu bagaimana caranya untuk bekerja di sana dan hanya sewenang-wenang masuk ke dalam semua premis untuk mencari kerja kosong.

Akhirnya, Narsi berjaya mendapat kerja sebagai pelayan di sebuah pub yang agak tersorok. Pub tersebut jarang dikunjungi dan bilangan pengunjung boleh dikira dengan jari-jemari sahaja. Bagi Narsi yang naif itu, kerjanya hanya menghantar pesanan kepada pelanggan seperti apa yang dilakukan oleh pelayan Kedai Tomyam Kak Mona di kampungnya.

Disebabkan Narsi selalu memerhatikan gerak-geri pelayan kedai makan di kampungnya melakukan kerja, maka, Narsi menjadi cekap walaupun baru pertama kali melakukan kerja-kerja menghantar pesanan ke meja pelanggan. Semenjak Narsi mula bekerja di pub, ramai pelanggan yang memuji-muji rupa paras Narsi dan mengajaknya keluar.

Semakin lama, Narsi seperti berendam di dalam kolam pujian. Setiap kali dipuji, Narsi merasakan dirinya sedang menari di langit tertinggi. Hal ini kerana, lelaki di rumah Narsi, iaitu bapanya, tidak pernah memuji-muji Narsi. Bapanya hanya tahu memaki-maki Narsi sehingga Narsi tidak tahu bagaimana rasanya apabila dipuji. Disebabkan pujian melambung-lambung yang diterimanya itu, Narsi selesa menjadi seorang yang riak dan suka menghina pekerja lain. Kata Narsi, mereka sangat hodoh dan tidak secantik dirinya. Mereka juga tidak pernah diajak keluar oleh pelanggan kerana tidak tahu melakukan kerja sepertinya.

Kini telah menjadi rutin Narsi sebelum menghantar pesanan untuk membelek-belek dirinya di hadapan cermin. Narsi senyum-senyum di hadapan cermin sambil bercakap seorang diri. Narsi juga sudah pandai memilih gincu yang berwarna merah menyala untuk dipakainya ketika bekerja. Sehari boleh dikatakan seratus kali Narsi melihat cermin untuk menambah lapisan gincu di bibirnya.

Selain menghina, Narsi juga selalu memekakkan telinga rakan-rakan sekerjanya dengan cerita-cerita sama. Narsi suka bercerita tentang ayat puji-pujian para jejaka yang singgah ke pub untuknya. Kata Narsi, selain mereka memuji rupa paras Narsi, mereka juga menyukai daging-daging Narsi yang terdedah. Ujar Narsi, bukti mereka menyukai kulitnya adalah dengan membelai-belai kulitnya.

Setiap malam, boleh dikatakan hampir kesemua pengunjung pub tersebut membelainya. Rakan-rakan sekerja Narsi menasihati agar berhati-hati dengan lelaki yang mengunjungi pub tersebut kerana kadang-kadang, mereka bukannya seorang lelaki, tetapi seekor binatang yang buas. Mereka yang lebih berpengalaman menjadi pelayan di pub tersebut mengatakan bahawa mereka lebih mengenali jenis-jenis pelanggan yang datang. Ada pelanggan yang bukan sekadar datang untuk minum atau melepak tetapi datang untuk memburu.

Narsi menjuihkan mulut dan menganggap mereka cemburu kerana tidak sehebat Narsi yang cantik dan suka melihat cermin beratus-ratus kali itu. Narsi juga memaki-maki mereka dengan perkataan-perkataan yang selalu orang tuanya lontarkan kepadanya.

Pada suatu malam, seorang lelaki yang kerap ke pub dan memerhatikan Narsi, julung kali menegurnya. Bersama rupa paras yang biasa-biasa sahaja, lelaki tersebut mahir bermain kata-kata. Selain cantik, kacak itu juga subjektif. Pelbagai aneka pujian yang diberikannya kepada Narsi sehingga hidung Narsi kadang-kadang mengembang dan wajahnya memerah. Memang Narsi sering mendapat pujian daripada pelanggan yang lain, tetapi pujian lelaki ini amat luar biasa baginya.

Lelaki itu memberitahu Narsi bahawa bau tubuh Narsi sungguh memukau seperti bunga ros yang ditanam di kayangan. Bau tersebut hanya ada pada Narsi seorang sahaja dan tiada wanita lain yang boleh menandingi bau Narsi. Sambil membelai-belai Narsi dan menghidu-hidu jari-jemarinya, lelaki itu menawarkan pekerjaan yang lebih menarik kepada Narsi. Katanya, Narsi amat sesuai melakukan pekerjaan tersebut dan akan mendapat gaji yang lebih lumayan. Bersama gaji yang lebih lumayan, dapatlah Narsi membeli gincu merah menyala dengan banyak.

Narsi menjadi teruja dan melompat girang. Narsi terus bersetuju dengan pelawaan lelaki itu. Lelaki itu pun mengajak Narsi untuk mengikutnya pulang kerana tempat kerja baharu Narsi berhampiran dengan rumahnya. Narsi yang seperti lembu dicucuk hidung itu terus mengambil barangannya untuk mengikut lelaki itu pulang. Sebelum keluar, Narsi melihat cermin lagi dan mengagumi pantulannya di cermin. Untung rasanya memiliki kecantikan yang dipuja ramai. Narsi juga mengejek rakan-rakan sekerjanya buat kali terakhir sebelum keluar dari pub tersebut.

Narsi tidak sabar untuk bekerja di tempat baharu dan mendapat gaji yang lebih lumayan. Narsi begitu berterima kasih kepada lelaki tersebut kerana sudi membantu Narsi walaupun baru sahaja berkenalan. Narsi juga berterima kasih kepada kecantikannya yang begitu luar biasa sehingga berjaya menjadi mata pencariannya. Sedang Narsi mengenangkan nasibnya yang begitu gemerlapan, dia tiba-tiba berasa mengantuk dan terlelap.

“Argh!” Narsi menjerit.

Apabila Narsi membuka mata, Narsi tercengang melihat sekelilingnya yang begitu uzur seperti biliknya di kampung. Narsi merasakan dirinya bagai sirih pulang ke gagang. Tiba-tiba, pintu bilik Narsi dibuka. Seorang wanita sedang mengipas dirinya dan seorang lelaki berwajah ngeri tersenyum di muka pintu tersebut. Wanita itu bertutur dalam bahasa yang tidak difahaminya dengan lelaki berwajah ngeri tersebut. Lelaki itu mengangguk-angguk sambil memberikan senyuman termanisnya kepada Narsi. Tubuh Narsi bergetar ketakutan tetapi tidak dapat melakukan apa-apa.

Rupa-rupanya, bau ros kayangan itu merupakan bau ke.bo.do.han Narsi sendiri. Narsi berteka-teki di dalam hati tentang salah siapa sebenarnya semua ini.

Bermula pada saat itu, Narsi pun memulakan kerja baharunya.


Pengarang :