Oleh Adam Taufiq Suharto
Sinema Hong Kong pra-2000-an atau filem-filem bikinan sineas (pakar teknik pembuatan filem) gelombang Hong Kong tidak pernah melelahkan mata untuk ditatapi dan dihalwai. Malah, ia bukan sahaja takjub dari sudut gambarnya tetapi juga lapisan-lapisan di balik alur ceritanya. Fruit Chan adalah sineas yang sedikit asing di bibir peminat filem Hong Kong (atau hanya saya?) dan ternyata filem pertamanya yang ditonton adalah sebuah filem yang menakjubkan.
Little Cheung adalah sebuah filem menuju dewasa (coming-of-age) seorang kanak-kanak bernama Little Cheung yang berkenalan dengan seorang kanak-kanak perempuan bernama Fan dan keluarganya adalah pendatang tidak sah dari Tanah Besar China. Tidak ada apa yang besar tentang naratifnya melainkan momen bermain-main, bergurau senda, rajuk dan pujuk daripada keluarga, tetapi yang membikin Little Cheung menarik adalah cerita-cerita kecil serta latarnya.
Yang membuatkan visual Little Cheung sedikit berbeza dengan kebanyakan filem-filem Hong Kong kerana ia memilih untuk menangkap lorong-lorong kecil, seperti watak Little Cheung yang sering berlegar-legar, merayau-rayau di celah-celah lorong yang hanyir, kotor lagikan getir. Pengarahnya memilih untuk tidak menangkap neon-neon waktu malam yang menjadi salah satu ikonografi Hong Kong yang sering dieksploit oleh pengarah-pengarah lain seperti Wong Kar Wai, misalnya.
Malah, kebanyakan babak dalam filem ini berlaku pada siang hari, kerana pengarahnya ingin menunjukkan rinci-rinci getir kota pada lantai, pada dinding, pada lorong dan lain-lain. Pengarahan Fruit Chan juga mengagumkan terutamanya dalam soal mengarahkan watak kanak-kanak seperti watak Cheung, Fan dan adik Fan yang langsung tidak kelihatan kekok malah terlihat natural dan menyakinkan. Itu belum lagi babak-babak lain yang terlihat realis dan tidak seperti dibuat-buat.
Isu dan latar masa yang utama bagi filem ini sebenarnya seputar Hong Kong’s Handover iaitu penyerahan Hong Kong daripada jajahan koloni British kembali kepada China. Sepertimana watak Little Cheung yang sedang menuju dewasa, Hong Kong dalam filem ini juga sedang menuju dewasa yang selama ini lebih 150 tahun berada di bawah lunak dan lena tadbiran British, tiba-tiba perlu menuju dewasa dalam erti kata menerima hakikat dan kenyataan sebenar bahawa mereka akan perlu menjadi sebahagian daripada China.
Skeptisisme dan kritik Fruit Chan terhadap Hong Kong’s Handover terlihat jelas apabila dia menunjukkan bagaimana dalam proses dan seusai itu, Little Cheung kehilangan ramai orang-orang yang disayanginya, daripada Fan (yang ditahan polis kerana masuk ke Hong Kong secara tidak sah), kepada neneknya sendiri, dan pembantu rumahnya yang berasal dari Filipina. Ia seolah-olah menyatakan bagaimana peralihan Hong Kong ke China ini akan menyebabkan banyak hal-hal lalu akan merengsa dan memudar. Ia ternyata satu bentuk keresahan dan krisis identiti yang dinyatakan secara tidak berterus-terang.
Dari satu sudut yang lain, yang menariknya, pandangan mengenai Hong Kong’s Handover turut disertakan sekali daripada sudut orang Tanah Besar melalui watak Fan dan keluarganya, imigran tidak sah dari China. Dalam sedua dialog, Fan menyatakan bahawa selepas 1 Julai 1997, yakni selepas penyerahan itu, mereka sekeluarga tidak perlu lagi menyorok-nyorok daripada polis kerana sangkaannya, Hong Kong sudah memang menjadi sebahagian daripada China.
Namun ternyata selepas penyerahan berlaku, bendera China mula menegak di sekolah-sekolah Hong Kong dan kanak-kanak perlu mengangkat tabik hormat kepada bendera itu serta mula mempelajari bahasa Mandarin (yang bukan bahasa orang-orang Hong Kong), malah Fan dan keluarganya masih lagi ditangkap dan dianggap asing. Ia menggambarkan betapa penyerahan Hong Kong masih dalam kekaburan dan terawang-awangan.
Juga yang menarik, selepas babak dramatik kejar-mengejar antara Cheung dan kereta polis yang membawa Fan sekeluarga, dan pada akhirnya Cheung tersalah mengejar ambulans (yang kebetulan kelihatan semirip kereta polis itu), kita pun mendengar suara latar kecewa Fan yang mengatakan ‘berakhirlah persabahatan kami’, ‘berakhirnya zaman kanak-kanak kami’ kerana dia menyangka Cheung benar-benar ingin mengejar ambulans tersebut, bukan mengejar dia dan keluarga. Ini seolah-olah memberikan satu penyataan yang mungkin Fruit Chan melihat, bahawa China dan Hong Kong mustahil untuk bersatu? Hanya sejarah (dan masa depan) yang boleh menjawabnya.