SHAH ALAM, 14 FEB: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menerbitkan hampir 90 judul buku sejak ditubuhkan pada 2016, selari tekad Kerajaan Negeri memperkukuh usaha pengembangan ilmu.
Genap lapan tahun penubuhannya hari ini, IBDE terus giat menterjemah buku pelbagai bidang merangkumi biografi, falsafah, sejarah, agama, budaya, seni dan sastera.
Menurut IBDE, wawasannya hanya satu iaitu menterjemah karya agung dunia agar dapat dinikmati oleh pembaca dalam bahasa Melayu.
“Kami percaya penguasaan ilmu pengetahuan akan lebih berkesan apabila disampaikan dalam bahasa ibunda,” katanya di Facebook.
IBDE turut menzahirkan penghargaan kepada pembaca dan pencinta buku yang memungkinkannya berdiri teguh di persada perbukuan.
“Usia lapan tahun memang masih muda dan mentah. Kami sentiasa bersedia untuk lebih jauh melangkah. IBDE memanjatkan penghargaan dan terima kasih tidak terhitung atas segala sokongan, saranan, pandangan dan perhatian anda selama ini,” katanya.
IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri menterjemah karya agung bermutu tinggi seluruh dunia antaranya sejarah, falsafah dan agama, sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.
Naskhah terjemahan berjudul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal karya Martin Lings kekal terlaris dengan kira-kira 100,000 dijual setakat Januari.
Novel baharu berjudul Perincian yang menceritakan kisah benar kezaliman tentera Israel pula tersenarai antara terbitan IBDE paling laris di Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur 2025 (KLAB 2025) dari 29 Januari hingga 2 Februari lalu.
Karya terbitan IBDE boleh didapati melalui kedai buku Rencana di Sri Damansara, Petaling Jaya atau secara atas talian menerusi pautan www.bukuibde.com,Tiktok, Shopee dan Lazada: Buku IBDE.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Belanjawan 2025 mengumumkan dana RM2 juta untuk meneruskan usaha penterjemahan karya utama serta mencambahkan perkembangan ilmu terutama warisan tamadun Islam.