SHAH ALAM, 12 FEB: Sebanyak 15,882 petak bazar Ramadan dibuka di 244 lokasi membabitkan 12 pihak berkuasa tempatan tahun ini, maklum EXCO keusahawanan.
Mohd Najwan Halimi berkata langkah itu merupakan usaha Kerajaan Negeri membantu usahawan atau penjaja kecil berniaga dan mendapat keuntungan lebih pada bulan Ramadan berbanding hari biasa.
“Saya nasihatkan peniaga mengikut peraturan ditetapkan PBT, jaga kebersihan dan keselamatan manakala untuk peniaga ‘rambo’ (tiada permit tetapi berniaga secara tiba-tiba) lupakan hasrat itu.
“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan peniaga seperti itu termasuk mereka yang menjual permit kepada pihak ketiga, pemantauan dilaksana setiap hari, tindakan tegas akan dikenakan jika didapati ada yang melanggar peraturan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kit dan Permit Bazar Ramadan 2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, di sini hari ini.
Sebanyak 2,796 petak bazar dibuka Majlis Perbandaran Kajang diikuti Majlis Perbandaran Selayang (2,121), Majlis Bandaraya Shah Alam (2,058) Majlis Bandaraya Diraja Klang (1,369) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (1,367).
Selain itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (1,260); Majlis Perbandaran Kuala Selangor (936); Majlis Perbandaran Sepang (894); Majlis Perbandaran Ampang Jaya (884), Majlis Perbandaran Kuala Langat (861); Majlis Perbandaran Hulu Selangor (726) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (610).

Sementara itu, Pemangku Timbalan Setiausaha Pengurusan MBSA Norhisham Mohammad berkata MBSA mengeluarkan 2,058 permit di 37 lokasi bazar Ramadan di kawasan pentadbirannya tahun ini.
“Sebanyak 1,302 permit bazar Ramadan melibatkan 26 lokasi diurus secara langsung oleh MBSA manakala 756 permit bazar Ramadan babit 11 lokasi diurus pihak swasta,” katanya.
Bayaran permit bazar Ramadan di kawasan MBSA adalah RM250 bagi makanan dan minuman diikuti makanan bergoreng (RM280); air kelapa dan tebu (RM280), jualan berbakar (RM280) serta ayam dan kambing golek (RM340).