SHAH ALAM, 2 FEB: Lokasi bagi acara pembukaan dan penutup rasmi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dan Para SUKMA XX11 Selangor 2026 dijangka diumum April ini.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata perbincangan lanjut dengan pihak terlibat sedang giat dilaksanakan bagi memuktamadkan lokasi penganjuran.
“Sekitar April, insya-Allah kita akan umumkan lokasi perasmian dan juga penutup SUKMA. Buat masa ini memang sedang dalam proses perbincangan dan nak muktamadkan proses tersebut,” katanya.
Beliau ditemui pada Karnival Kesihatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di Surau Al-Ansor, Seksyen 2, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kesediaan atlet, menurutnya program pembangunan atlet Selangor giat dijalankan dan ditambah baik termasuk menghantar mereka menjalani latihan di luar negara.
“Baru-baru ini saya ada ke Indonesia bertemu dengan Majlis Olimpik Indonesia untuk kita lihat potensi dan bagaimana boleh sinergikan pembangunan atlet ini.
“Mungkin ada atlet kita yang kita hantar latih di sana dan ada atlet Indonesia akan berlatih di Selangor. Program itu berterusan, dan kena kenal pasti siapa dan sukan apa,” katanya.
Beliau turut menjelaskan masih terlalu awal untuk mengumumkan senarai barisan atlet mewakili Selangor ke temasya dwitahunan itu tahun depan.
“Susulan dari SUKMA Sarawak ada atlet kita yang mungkin lepas ini tidak boleh bertanding, yang dah habis usia. Jadi kita kena mula menggerakkan program pembangunan atlet baharu.
“Jadi umumkan barisan atlet ke SUKMA 2026, tahun depan yang paling realistik,” katanya.
Sebelum ini, Najwan berkata Jawatankuasa Pengelola (Induk) Temasya SUKMA XXII dan Para SUKMA XX11 Selangor 2026 menimbang Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai lokasi bagi acara pembukaan dan penutup rasmi SUKMA XXII.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA dan Para SUKMA XXII Selangor 2026 berkata, Stadium MBPJ pula menjadi lokasi bagi acara pembukaan dan penutupan rasmi Para SUKMA.
Selangor menjadi tuan rumah temasya SUKMA 2026 selepas kali terakhir menganjur sukan berprestij itu pada 1998.
Pada pembentangan Belanjawan Negeri 2025, Amirudin mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk melaksana program pembangunan sukan sebagai persiapan SUKMA ke-22.