PETALING JAYA, 10 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus menjalin kerjasama strategik menerusi Memorandum persefahaman (MoU) dengan atlet larian menara negara, Soh Wai Ching.
Datuk Bandarnya berkata tajaan memasuki tahun ketiga berjumlah RM75,000 itu mebolehkan Wai Ching meneruskan penyertaan ke peringkat antarabangsa selain merebut kedudukan nombor satu dunia tahun ini.
“Selain itu, tujuan kita memeterai MoU ini juga untuk mempromosi Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya pintar, mampan dan berdaya tahan sekali gus sebagai destinasi pelancongan pengunjung khususnya sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
“MBPJ berharap dengan tajaan ini dapat membantu beliau mencapai kejuaraan serta mengharumkan nama Malaysia terutama Petaling Jaya di pentas dunia,” kata Mohamad Zahri Samingon ketika majlis menandatangani MoU di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan MoU yang dimeterai menetapkan beberapa syarat dan terma termasuk kewajipan sentiasa mengenakan baju atau jersi berlogo MBPJ dalam setiap pertandingan larian termasuk temu ramah.
Katanya lagi, MoU itu juga termasuk memerlukan Wai Ching menghadiri dan menyampaikan tiga ceramah motivasi anjuran MBPJ di sekolah sekitar Petaling Jaya.

Sementara itu, Wai Ching berkata beliau menyasar merampas semula kedudukan pertama tahun ini dengan menyertai kejohanan dunia yang lebih besar.
Menurut pemenang Anugerah Olahragawan bagi Anugerah Sukan Negeri Selangor 2023 itu, beliau kini mengambil pendekatan memilih kejohanan berikutan tidak mahu kesihatan terganggu.
“Tahun lalu, kesihatan saya tidak berapa baik kerana terlalu banyak sertai kejohanan. Namun, tahun ini saya lebih mementingkan kualiti berbanding kuantiti supaya tidak jejas kesihatan.
“Pada masa sama, saya juga akan turun padang untuk buat sesi perkongsian bersama atlet yang berminat atau mempunyai masa depan cerah. Ini bukan berkaitan saya sahaja tetapi mahu mencari atlet pelapis untuk masa depan negara,” katanya.