Datuk Bandar Klang Dato’ Abdul Hamid Hussain bergambar bersama orang ramai pada Program Cintai Pantai Klang di Pantai Tanjung Harapan pada 15 Februari 2025. Foto Facebook Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK)
PBTSELANGOR

MBDK bersih pantai, rancak kembali aktiviti pelancongan Tanjung Harapan

Oleh Aliff Haiqal Mohamed

PELABUHAN KLANG, 15 FEB: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) komited merancakkan kembali aktiviti pelancongan di pantai Tanjung Harapan.

Datuk Bandar Klang Dato’ Abdul Hamid Hussain berkata selain membersihkan kawasan persisiran pantai, MBDK turut berusaha menambah baik prasarana untuk keselesaan pengunjung.

“Walaupun Klang memiliki persisiran pantai melebihi empat kilometer, tiada satu pantai sesuai untuk beriadah kecuali di pantai Tanjung Harapan.

“Jadi pantai ini menjadi aset penting maka kita akan terus berusaha untuk memastikan kawasan ini popular untuk tujuan pelancongan.

Datuk Bandar Klang Dato’ Abdul Hamid Hussain bersama orang ramai di atas sebuah kapal Bugis ketika Program Cintai Pantai Klang di Pantai Tanjung Harapan pada 15 Februari 2025. Foto Facebook Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK)

“Selain terdapat pemandangan matahari terbenam yang cantik pada waktu petang, pantai ini juga memiliki sebuah kapal Bugis yang menjadi ikon pelancongan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Cintai Pantai Klang di Esplanade Tanjung Harapan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut berkenaan program, Abd. Hamid berkata aktiviti gotong-royong yang dijalankan bersama komuniti setempat itu merupakan salah satu agenda yang digariskan di bawah Pelan Tindakan Tanjung Harapan dan Bagan Hailam 2035 untuk menambah baik kawasan berkenaan.

Katanya, ia termasuk menyusun semula perancangan guna tanah, infrastruktur, utiliti dan kemudahan awam, pembangunan ekonomi dan sosial komuniti serta tarikan pelancongan.

 


Pengarang :