PETALING JAYA, 5 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi melindungi peniaga Bazar Ramadan tahun ini.
Timbalan Datuk Bandar Aznan berkata inisiatif julung kali ini bertujuan menyediakan perlindungan kepada peniaga jika berlaku kemalangan tidak dijangka semasa bekerja di bulan puasa.
“Kita sarankan semua peniaga untuk daftar perlindungan ini. Ini beri manfaat besar kepada mereka malah harga dikenakan juga rendah iaitu RM13.90 untuk sebulan.
“Hari ini kita sediakan kaunter untuk mudahkan peniaga membuat pendaftaran,” katanya selepas merasmikan program taklimat, cabutan undi dan penyerahan permit, apron dan topi Bazar Ramadan ‘Bahagia dan Lestari’ 2025 hari ini.
Sementara itu beliau berkata kira-kira 100 petugas MBPJ serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)akan ditugaskan memantau keselamatan di semua lokasi bazar.
“Selain memastikan keselamatan dan elak trafik sesat, petugas MBPJ juga akan memantau faktor kebersihan.
“Dalam masa sama majlis juga akan kenakan tindakan tegas kepada peniaga yang menjalankan perniagaan tanpa permit ketika Ramadan nanti,”katanya.
Tahun ini MBPJ menyediakan 1,260 petak bazar di 18 lokasi sekitar daerah ini dan setakat ini 1,107 peniaga sudah membuat permohonan membabitkan hampir 88 peratus tapak.