PBTSELANGOR

MPAJ buka kaunter pandu lalu bayar cukai taksiran

SHAH ALAM, 11 FEB: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuka kaunter pandu lalu untuk penduduk sekitar menjelaskan cukai taksiran.

MPAJ menerusi kenyataan memaklumkan kaunter beroperasi setiap hari bekerja bermula jam 9 pagi hingga 4 petang (rehat 1 tengah hari) di kaunter pandu bayar aras 1, Menara MPAJ.

“Pemilik harta di MPAJ diingat melunaskan bayaran cukai taksiran bermula 1 Januari hingga 28 Februari 2025 (penggal pertama) dan 1 Julai 2024 hingga 31 Ogos 2025 (penggal kedua),” katanya menerusi kenyataan.

Bayaran cukai taksiran juga boleh dibuat secara tunai, cek, kad kredit atau perbankan dalam talian melalui beberapa kaedah antaranya;

  • bayaran di Kaunter Khidmat Setempat, Aras 4, Menara MPAJ
  • mesin kiosk, aras 4, Menara MPAJ
  • kaunter cawangan Taman Melawati
  • aplikasi iCOMM MPAJ.

Sementara itu, MPAJ turut membuka permohonan pengecualian cukai taksiran bagi kediaman kampung bersasar tahun ini membabitkan kediaman berkeluasan kurang 2,000 kaki per segi.

Dibuka sehingga 31 Ogos ini, antara syarat permohonan pengecualian cukai taksiran itu adalah pemilik berdaftar dan pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah.

Maklumat lanjut mengenai syarat permohonan serta borang permohonan boleh dimuat turun melalui kod QR atau pautan https://cdn3.me-qr.com/pdf/140d3b8a-ab81-42ce-8878-7f950abdf580.pdf

Untuk maklumat lanjut berkenaan pengecualian cukai taksiran bagi kediaman kampung bersasar 2025, boleh hubungi Jabatan Penilaian dan Pembangunan Hartanah MPAJ di talian 03-4285 7013/ 7072/ 7379.


Pengarang :