SHAH ALAM, 7 FEB: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) tegas menangani isu pembuangan sampah haram dan penambakan tanah secara tidak sah di Kampung Sri Sentosa dan Kampung Sri Aman, Ijok.
Yang Dipertuanya Mohamad Hanafe Basri berkata tindakan penguatkuasaan berterusan diambil bermula 2008 dengan mengeluarkan amaran lisan dan notis kompaun kepada individu serta pihak terlibat.
“Pada 2016, MPKS mengambil langkah lebih drastik menutup kawasan pembuangan sampah haram diadukan dan mengorek parit bagi menghalang kenderaan memasuki kawasan selain pintu pagar dan pondok haram dibina di laluan masuk ke kawasan itu dirobohkan.
“Walaupun pelbagai tindakan diambil, masalah pembuangan sampah haram dan penambakan tanah masih berterusan dengan cabaran utama dihadapi adalah permintaan tinggi pemilik tanah menambak kawasan mereka bagi mengelak banjir.
“Selain itu, kekangan kewangan penduduk berpendapatan sederhana, kesukaran mengenal pasti pemilik tanah sebenar serta aktiviti pembuangan sampah sering berlaku di luar waktu pemantauan statik MPKS,” katanya dalam kenyataan.
Komited menangani isu itu, beliau berkata dua kampung berkenaan yang terletak di tebing Sungai Buloh sering mengalami banjir kilat disebabkan kedudukannya lebih rendah berbanding jalan raya dan sungai.
“Sejak 2008, kawasan ini mula didiami melalui proses pelupusan tanah kerajaan, namun, aktiviti penambakan tanah menggunakan sisa binaan dan sampah domestik semakin berleluasa sehingga menimbulkan pelbagai isu alam sekitar dan keselamatan penduduk,” katanya.
Mohamad Hanafe menambah, bagi menangani isu itu lebih sistematik, Kerajaan Negeri mengeluarkan Arahan Pengarah Tanah dan Galian Selangor (PTGS) Bilangan 1/2019 bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan antara agensi dan memastikan langkah lebih teratur serta bersepadu dilaksanakan.
“Sebagai sebahagian daripada tindakan ini, MPKS menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Pengurusan Sampah Haram bagi memantau pelaksanaan arahan itu, yang bertanggungjawab menyelaras tindakan antara agensi penguatkuasaan,” katanya.
Hasilnya, sejak 2020 hingga kini, tindakan penguatkuasaan berterusan diambil dengan sejumlah 134 kenderaan disita, 281 kompaun dan notis (20) dikeluarkan kepada pihak terlibat dalam aktiviti haram itu dengan 2023 mencatatkan jumlah sitaan tertinggi.
“MPKS bersama pejabat tanah dan daerah juga mengambil tindakan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dengan mengeluarkan Notis 7A dan 7B kepada pemilik tanah dikenal pasti terlibat dalam aktiviti penambakan secara tidak sah.
“Sehingga kini sebanyak 33 notis 7A dikeluarkan kepada pemilik tanah dengan 28 daripadanya tamat tempoh dan tindakan diteruskan dengan pengeluaran notis 7B.
“Sebanyak 28 lot tanah berjaya diremedi selepas tindakan lanjut diambil dan tiga pemilik tanah mengambil inisiatif untuk meremedi tanah mereka lebih awal sebelum notis 7B dikeluarkan, menjadikan jumlah keseluruhan tanah yang telah diremedi sebanyak 31 lot manakala dua lot tanah lagi masih dalam proses penyediaan notis 7B,” katanya.
Tambahnya, langkah penambahbaikan bagi memastikan penyelesaian jangka panjang lebih berkesan turut dicadangkan, termasuk perjumpaan dengan pemilik tanah bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesan undang-undang terhadap aktiviti penambakan haram.
“Turut dicadangkan pemberian imbuhan kepada pemberi maklumat bagi menggalakkan orang awam melaporkan aktiviti pembuangan sampah haram,” katanya.