SHAH ALAM, 14 FEB: Empat premis dikendalikan warga asing di sekitar Pusat Perdagangan Alam Jaya, Puncak Alam dekat sini, diarahkan tutup susulan pelaksanaan Operasi Bersepadu Warga Asing diketuai Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) semalam.
MPKS dalam kenyataan memaklumkan operasi itu meliputi pemeriksaan terhadap dua restoran dan dua pusat cuci kereta membabitkan penglibatan 35 anggota dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor).

Kenyataan itu turut memaklumkan operasi yang berlangsung empat jam bermula 10 pagi itu menyaksikan 12 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan berkaitan lesen, iklan tidak sah, pencerobohan kaki lima, selain tindakan sitaan peralatan perdagangan turut diambil.
“Tindakan tegas ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan pematuhan dalam kalangan peniaga khususnya warga asing terhadap peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan komuniti setempat,” menurut kenyataan itu.
– BERNAMA