SETELAH ditutup sejak 2019 bagi kerja naik taraf, Muzium Sultan Alam Shah di Seksyen 14, Shah Alam dibuka mulai hari ini, 8 Februari.
Bangunan muzium dibina atas tanah seluas 12.95 hektar dibuka pada 1989.
Pembukaan semula muzium dengan kos naik taraf lebih RM5 juta itu sekali gus menyokong kempen pelancongan negeri, Tahun Melawat Selangor 2025.
Dikendali Perbadanan Adat Melayu & Warisan Negeri Selangor (PADAT), ia menempatkan Galeri Sejarah, Galeri Adat dan Kebudayaan dan Galeri Alam Semula Jadi.
Pengunjung berpeluang melihat lebih dekat 1,000 bahan pameran termasuk artifak, diorama, model dan replica merangkumi aspek sejarah, kebudayaan dan warisan.
Selain itu, ada lebih 800 spesimen berkaitan alam semula jadi. Jurufoto HARUN TAJUDIN merakam sebahagian ruang dan bahan pameran di muzium berkenaan ketika sesi lawatan EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah bersama Ketua Pegawai Eksekutif Muzium Sultan Alam Shah Rozzana Rahmat dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling pada 20 Januari. Keterangan oleh HAFIZAN TAIB.








