Oleh Yasmin Ramlan
PETALING JAYA, 10 FEB: Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025-2030 bakal dibentangkan kepada Kerajaan Negeri dan diterima pakai semua pihak berkuasa tempatan di Selangor.
Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berkata pihaknya komited untuk melaksanakan pelan tindakan tersebut secara lebih sistematik dan berkesan melalui bengkel khas.
“Ekonomi penjagaan bukan lagi isu sampingan, tetapi satu keperluan kritikal yang perlu ditangani. Kami komited menyediakan perkhidmatan penjagaan yang berkualiti dan selamat kepada penduduk.
“Menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan ini, kami berhasrat mewujudkan sebuah bandar yang lebih inklusif dan mampan,” katanya berucap dalam sebuah majlis di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamad Zahri berkata dapatan daripada bengkel tersebut akan dikumpulkan melalui libat urus dengan pertubuhan bukan kerajaan dan pengusaha pusat jagaan kanak-kanak.
Beliau menambah bengkel tersebut dianjurkan bagi mengenal pasti cabaran dalam penubuhan pusat penjagaan, memudahkan perbincangan, dan memberikan sokongan yang diperlukan.
“Penemuan ini akan dikemukakan kepada EXCO negeri untuk tindakan lanjut, dan berkemungkinan ia boleh dilaksanakan di semua majlis perbandaran, dengan sasaran selesai menjelang Jun,” katanya.

Di Petaling Jaya, terdapat 147 taska, 108 pusat jagaan kanak-kanak, dan 70 rumah penjagaan warga emas yang beroperasi, namun sebahagiannya belum mendapat kelulusan.
Beliau berkata langkah itu termasuk menambah baik garis panduan kelulusan perkhidmatan penjagaan, menarik pelaburan dalam sektor penjagaan, serta meningkatkan latihan dan sokongan tenaga kerja.
“MBPJ akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk meningkatkan pematuhan dan memperluaskan akses kepada perkhidmatan penjagaan yang berkualiti,” kata Mohamad Zahri.
Keutamaan pelan tindakan itu termasuk mewujudkan persekitaran mesra warga emas, serta menambah baik kemudahan penjagaan kanak-kanak dan membangunkan taman permainan yang selamat serta inklusif.