SHAH ALAM, 5 FEB: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menetapkan sasaran pingat bagi Sukan SEA 2025 di Thailand berdasarkan jumlah keseluruhan, bukan mengikut warna.
Menterinya Hannah Yeoh berkata sasaran jumlah pingat akan ditentukan secara bersama antara KBS melalui Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM)
“Sasaran jumlah pingat akan ditentukan selepas ini kerana pendaftaran akhir atlet bagi menyertai temasya itu terbuka sehingga September 2025.
“Penetapan ini turut mengambil kira saranan pakar di Nippon Sports Science University (NSSU). Amalan ini juga telah lama dilaksanakan di beberapa negara seperti Jepun, Korea, Iran, Singapura dan Hong Kong.
“Bagaimanapun, antara sukan yang dijangka akan menyumbang bilangan pingat yang banyak kepada kontinjen negara adalah akuatik (terjun), berbasikal (trek), hoki, memanah, menembak, pelayaran, skuasy, dan tenpin boling,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden mengenai sasaran Malaysia bagi temasya Sukan SEA 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menambah penetapan sasaran pingat berdasarkan jumlah keseluruhan akan memberi tanggungjawab kepada semua kontinjen untuk menyumbang kepada jumlah pingat.
“Semasa kita berbincang dengan NSSU dan sesi ‘post mortem’ bersama pakar, mereka nyatakan bila kita umumkan sasaran jumlah pingat emas dan ia dari (sukan) mana, akan memberi tekanan tinggi kepada atlet tertentu.
“Berdasarkan penilaian bersama atlet khasnya di Sukan Asia Hangzhou, mereka rasa mereka lebih gembira bila ada sasaran untuk seluruh kontinjen. Selain itu, setiap pemenang pingat walaupun gangsa rasa diraikan sebagai pemenang bukan hanya tertumpu kepada pemenang pingat emas,” katanya.
Menurut Hannah, sehingga kini, seramai 350 atlet di bawah program podium daripada 19 jenis sukan sedang giat mengikuti program latihan di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman.
“Selain itu, 261 atlet pelapis kebangsaan daripada 15 jenis sukan turut giat menjalani latihan. Bagi memastikan prestasi atlet pada tahap yang baik, MSN bersama PSK, ISN dan jurulatih telah membuat perancangan 2025 menerusi pelan periodisasi pada 13 November 2024.
“Program ini akan dilaksanakan mengikut perancangan, keperluan dan perkhidmatan sokongan yang diberikan agar tahap prestasi atlet negara dalam keadaan terbaik untuk bersaing di Sukan SEA Thailand 2025 serta di kejohanan utama lain,” katanya.
Sebanyak 585 acara dijangka dipertandingkan pada temasya Sukan SEA 2025 dari 9 hingga 20 Disember di Bangkok, Chonburi dan Songkhla, Thailand.