EXCO Sukan Najwan Halimi ditemui selepas sidang media Kejohanan Selangor Future Cup di pusat beli-belah AEON Shah Alam pada 6 Febuari 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMASUKANKINI

SUKMA: Selangor cadang pertanding e-sukan, muktamad acara selepas Aidilfitri

SHAH ALAM, 7 FEB: Selangor selaku tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bercadang mempertandingkan e-sukan susulan sambutan terhadap acara itu pada SUKMA Sarawak tahun lepas.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata Selangor juga memiliki barisan atlet e-sukan yang berpotensi dan prospek menyumbang pingat.

EXCO Sukan Najwan Halimi ketika sidang media Kejohanan Selangor Future Cup di pusat beli-belah AEON Shah Alam pada 6 Febuari 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Walaupun bukan sukan teras, kita melihat ia mendapat sambutan pada SUKMA 2024 jadi Selangor bercadang untuk menyambung (acara e-sukan).

“Sekretariat SUKMA 2026 Selangor telah bertemu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Abdul Rashid Yaakub bagi perbincangan acara sukan yang akan dianjurkan,” katanya yang menjangkakan acara sukan dimuktamad selepas Aidilfitri.

Beliau berkata demikian dalam sidang media kejohanan Selangor Future Cup 2025 di pusat beli-belah AEON Shah Alam, Seksyen 13 di sini, semalam.

Ditanya mengenai perkembangan pembangunan gedung e-sukan di Hotel Carlton, Najwan memaklumkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membangunkan perancangan membaik pulih.

“Kerajaan Negeri menunggu pelan MBI selaku pemilik bangunan, peruntukan RM1 juta telah disediakan namun akan disalurkan mengikut tahap keperluan proses baik pulih hotel ini,” jelasnya.

Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 mengumumkan Kerajaan Negeri akan mengubah suai Hotel Carlton di Seksyen 13 di sini untuk dijadikan gedung e-Sports dengan peruntukan RM1 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berkenaan memberi peluang kepada negeri menjadi tuan rumah kepada pertandingan e-sukan di peringkat Asean dan antarabangsa.


Pengarang :