Oleh Danial Dzulkifly
PETALING JAYA, 7 FEB: Syarikat yang beroperasi di taman reka bentuk litar bersepadu (IC) Selangor berjaya meraih pelaburan dan dana berjumlah RM2.6 bilion, sejajar hasrat negeri untuk mengembangkan hab reka bentuk cip global ke fasa kedua.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital dan Teknologi Maklumat Selangor (Sidec) Yong Kai Ping berkata IC yang terletak di Puchong itu mencapai kapasiti penuh dalam tempoh tujuh bulan sejak dilancarkan pada 7 Ogos tahun lalu.
“Kami kini sedang berusaha untuk membuka taman reka bentuk IC kedua dengan kerjasama Cyberview di Cyberjaya.
“Dengan enam syarikat peneraju utama dan tujuh rakan kongsi ekosistem, kami sedang membina sebuah hab bertaraf dunia untuk meletakkan Malaysia ke hadapan dalam inovasi semikonduktor,” katanya ketika sambutan Tahun Baharu Cina di Hotel Sheraton Petaling Jaya, malam tadi.
Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO Pelaburan Ng Sze Han, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Dato’ Saipolyazan M Yusop dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris.
Kai Ping menambah industri semikonduktor Selangor masih berada di peringkat awal dengan kebanyakan syarikat berada pada tahap pra A level.
“Saya tidak boleh dedahkan nama lagi, tetapi salah satu syarikat rakan kongsi kami dijangka disenarai awam pada penghujung tahun ini. Kami juga menjangkakan beberapa lagi syarikat IC akan disenarai awam dalam dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya.
Beliau juga berkata Selangor menyasar memiliki sekurang-kurangnya 10 syarikat reka bentuk IC yang menyumbang 20 peratus kepada Strategi Semikonduktor Nasional, dengan setiap syarikat bernilai lebih RM1 bilion.
“Hampir 400 jurutera bakal diambil bekerja di taman reka bentuk IC di Puchong. Kami sudah mempunyai sekitar 100 jurutera dan akan menerima lebih 300 jurutera IC tidak lama lagi,” katanya.
Kai Ping menambah Sidec sedang memperluas usaha menyokong syarikat pemula melalui program pemacu deep tech yang akan memberi fokus kepada kecerdasan buatan (AI), mobiliti pintar, penyelesaian berasaskan bio dan teknologi sifar bersih.
“Kita perlu memperkasa setiap syarikat pemula dengan AI, bukan sekadar chatbot, tetapi juga ejen AI yang mempunyai keupayaan sebenar. Matlamat kami agar semua syarikat pemula dalam program ini dilengkapi dengan teknologi AI,” katanya.
Selain semikonduktor, beliau berkata Malaysia berpotensi menjadi hab pusat data global dengan unjuran negara ini bakal mempunyai kapasiti pusat data sebanyak 5GW menjelang 2030 bersamaan dua juta pelayan unit pemprosesan grafik (GPU).
“Ini seumpama apa yang sedang dibina Meta (Facebook) di Amerika Syarikat. Jika kita mengambil kira setiap pelayan GPU bernilai sekitar RM1 juta, jumlah pelaburan CapEx di Malaysia boleh mencecah RM2 trilion, yang mungkin meletakkan kita di kedudukan 10 teratas dunia, bahkan mungkin melepasi Jepun,” katanya.
Bagaimanapun Kai Ping mengakui terdapat kebimbangan mengenai penggunaan tenaga dan air oleh pusat data berkenaan namun berpendapat ia boleh menjadi pemacu utama rantaian bekalan tempatan.
“Jika kita memastikan 30 hingga 40 peratus rantaian bekalan tempatan mendapat manfaat daripada pusat data, sama ada melalui cip semikonduktor ASIC (application-specific integrated circuit) untuk AI, memori jalur lebar tinggi, SSD (solid-state drives), bekalan kuasa atau pengurusan air yang boleh merangsang pertumbuhan industri tempatan dengan ketara.
“Bayangkan impak ekonomi sedemikian, jika kita dapat memanfaatkannya secara positif, ia akan merangsang industri tempatan kita,” katanya.
Beliau percaya dengan kebangkitan AI, lebih banyak syarikat akan memiliki pusat data mereka sendiri atau menyewa kuasa pengkomputeran, seumpama ‘Airbnb untuk pelayan’ yang akan mencipta banyak peluang dalam kedua-dua sektor perkakasan dan perisian.
Kai Ping turut memuji kepimpinan Kerajaan Negeri yang meletakkan Selangor sebagai pemain utama dalam industri semikonduktor dan AI melibatkan insiatif oleh Invest Selangor dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.