Orang ramai membeli barangan keperluan asas sempena Jualan Mega Tahun Baru Cina di Tapak Pasar Malam Pandan Cahaya, Ampang Jaya pada 27 Januari 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Tawar 12 barang dapur, harga 30 peratus murah banding pasaran

Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang diperkenal sejak 2022 diteruskan lagi pada tahun ini meliputi lebih 1,700 lokasi termasuk jualan mega musim perayaan ditambah dari dua kepada enam kali.

Program yang menawarkan barangan dapur kira-kira 30 peratus lebih murah daripada pasaran hasil peruntukan RM30 juta dalam Belanjawan Selangor 2025 menerima sambutan menggalakkan.

Takat September tahun lalu, lebih 4,000 lokasi dikunjungi orang ramai sejak ia diperkenal, dengan subsidi RM58.7 juta ditampung pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Menurut Bahagian Operasi Jualan Ehsan Rahmah, jualan sebanyak RM33 juta dicatat sepanjang tahun lalu sekali gus memberi manfaat kepada 4.5 juta penduduk melalui 1,200 lokasi.

Inisiatif yang sebelum itu menawarkan enam barangan ditambah kepada 12 produk mulai tahun ini.
Orang ramai boleh mengikuti jadual JER di media rasmi PKPS.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Pasar Raya Ehsan Mart Sungai Tua Dataran Selayang, Gombak pada 6 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MDIA SELANGOR

Ehsan Mart

Penganjuran JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mula bergerak ke serata negeri mulai 13 Januari.

Mahu terus membantu rakyat dapatkan barangan asas pada harga murah, Kerajaan Selangor sasar pembukaan 10 Pasaraya Ehsan Mart menjelang akhir tahun.

Setakat ini,cawangannya ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Pandan Indah dan bakal beroperasi di Hulu Kelang.

Pasar raya yang bakal dibuka meliputi semua 56 DUN menjelang 2027 sebenarnya kesinambungan JER. Dikendali PKPS, ia menawarkan harga 10 hingga 15 peratus lebih rendah dari pasaran.

Perbadanan itu juga bekerjasama Segi Fresh yang bakal membuka 10 cawangan Pasaraya Ehsan Segi Fresh. Pasar raya pertama dibuka di Bagan Nakhoda Omar, Kuala Selangor.

PKPS juga menjalin usaha sama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi menjayakan penganjuran Jualan Rahmah Madani pada tahun ini.

Sebanyak 2,000 lokasi penganjuran di Selangor pada tahun ini berbanding 1,400 pada tahun lalu. Dilancarkan pada 11 Januari 2023, program itu menawarkan penjimatan barangan keperluan pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Barangan tersebut antaranya ikan bawal putih, cili merah, lobak merah, lobak putih, bawang putih, udang putih besar, bawang merah besar dan sayur sawi pendek.

Hasil kecemerlangan pengendalian JER, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti selain diiktiraf Malaysia Book of Records kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.

Rata-rata pengunjung menyambut baik inisiatif Selangor lantaran faktor harga murah dan mutu produk setanding pasar raya ternama. Mereka sanggup beratur panjang dan lama untuk membeli.

“Walaupun jualan bermula 10 pagi, saya tidak kisah datang satu jam awal. Tidak kisah kena beratur lama jika dapat barang murah dan berkualiti, kerana dapat jimat perbelanjaan keluarga.”

Nancy Lim, 73,
Taman Chi Liung, Pandamaran

Mohd Najib Khalil, 53

“Saya dapat bantuan bulanan (Jabatan Kebajikan Masyarakat) RM350 dan tinggal seorang diri.Dengan duit itu saya berjimat. Bila ada jualan murah, saya tidak melepaskan peluang berbelanja kerana harga murah dan barangannya berkualiti.”

Mohd Najib Khalil, 53,
Pangsapuri Taman Keramat, Ampang Jaya


Pengarang :