KLANG, 15 FEB: Golongan wanita perlu bijak mengurus dan menangani tekanan dalam kehidupan seharian bagi mengelak berdepan dengan masalah kesihatan termasuk kerisauan melampau.
Pakar motivasi Dr Sharifah Shawati Syed Mohd berkata wanita akan bebas dari tekanan sekiranya mengambil langkah pencegahan antaranya beriadah, merancang dengan teliti dan menjaga kesihatan.

“Tekanan sebenarnya penting kerana ia bantu meningkatkan diri kita di tahap yang tanpa diduga. Tanpa tekanan kita akan berada di takuk lama kerana tiada sesuatu yang mendorong ke tahap lebih tinggi.
“Namun, sebagai wanita kita perlu bijak mengurus tekanan dengan mengambil langkah menanganinya seperti tenangkan diri dengan aktiviti beriadah, amal rancang kerja lebih awal, jaga imej, emosi dan kesihatan,” katanya.
Bercakap pada majlis Inspirasi Wanita sempena Hari Wanita Majlis Bandaraya Diraja Klang di sini semalam, beliau yang juga bekas personaliti televisyen swasta turut menasihatkan wanita agar tidak membuat perbandingan sesama kaum.
“Jangan bandingkan diri dengan orang lain, ini juga menimbulkan tekanan kerana sering bandingkan antara orang lain. Mulai hari ini, bersyukur dengan kejayaan dikecapi biarpun ia sekecil mana,” nasihatnya.
Sementara itu, isteri Datuk Bandar Klang Datin Jamaliah Ab Aziz berkata wanita pada masa kini bukan sahaja berperanan dalam keluarga sebaliknya turut berperanan dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi, pendidikan, teknologi dan kesihatan.

“Jurang indeks gender Malaysia mendapati penyertaan wanita secara menyeluruh dalam ekonomi Malaysia masih lagi rendah, namun peratusan wanita dalam jawatan pengurusan meningkat 25.4 peratus pada 2023 berbanding 23.8 peratus pada 2022.
“Ini menunjukkan kemajuan ke arah memastikan penyertaan wanita dan peluang kepimpinan dalam pelbagai sektor. Peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara begitu besar dan tidak ternilai,” katanya.
Jamaliah turut menyeru semua pihak bersama-sama memperjuangkan hak wanita agar diberi peluang yang sama untuk mencapai potensi diri sekali gus dapat memberikan sumbangan terbaik kepada masyarakat.
