PETALING JAYA, 12 MAC: Sejumlah 512 kilogram (kg) sisa makanan dikumpul sejak 1 Mac hingga kelmarin di dua lokasi bazar Ramadan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata sisa makanan yang dikumpul itu diproses menjadi baja organik dengan jumlah terkumpul 102 kg dalam tempoh sama.
Menurutnya, program dengan kerjasama Eco Lestari itu, dilaksanakan di bazar Ramadan SS6/1 Kelana Jaya dan Seksyen 4, Kota Damansara sebagai sebahagian komitmen MBPJ terhadap kelestarian alam, mengurangkan pembaziran makanan dan meningkatkan kadar kitar semula.

“Kejayaan ini membuktikan bazar Ramadan bukan saja sebagai pusat ekonomi tetapi juga platform penting dalam usaha pemeliharaan alam sekitar,” katanya berucap pada program Santuni Bazar Ramadan ‘Bahagia dan Lestari’ anjuran MBPJ di sini, semalam.
Mohamad Zahri berkata pihaknya juga turut mengadakan program kitar semula minyak masak di 18 lokasi bazar Ramadan dengan 511.5 kg dikumpul sejak 1 Mac hingga kelmarin.
“Kita turut menganjurkan pertandingan pengumpulan minyak masak kepada orang awam dan peniaga yang menawarkan wang tunai sebagai insentif,” katanya.
Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor mencemar duli mengunjungi bazar Ramadan SS6/1, Kelana Jaya di sini dan meluangkan masa kira-kira sejam.
Keberangkatan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin mencuri tumpuan peniaga dan pengunjung, malah ada dalam kalangan mereka yang tidak melepaskan peluang merakam gambar dan berswafoto bersama Baginda.
