SUBANG JAYA, 23 MAC: Mantan calon Pilihan Raya Negeri DUN Taman Medan bakal mempertahankan jawatan timbalan ketua cabang KEADILAN Petaling Jaya disandangnya sebelum ini.
Ahmad Akhir Pawan Chik berkata beliau dimaklum akan bertanding dua penjuru dengan Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Dr Mohammad Fahmi Ngah.
“Saya akan pertahan jawatan sebelum ini sebagai timbalan ketua cabang…soal kenapa tidak pergi kepada jawatan ketua cabang saya rasa biarlah pertahan jawatan sedia ada terlebih dahulu.
“Kita lebih kepada muafakat, bergerak satu kumpulan dan bersama buat kerja demi parti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serahan Baucar Jom Shopping DUN Taman Medan di Mydin di sini semalam.
Dalam pada itu, Penyelaras DUN Taman Medan Halimey Abu Bakar berharap semua calon yang bertanding dapat menjalankan tugas sebaiknya sekiranya menang kelak.
“Kepada pengundi juga keluarlah mengundi bagi pemilihan KEADILAN April ini. Saya berharap yang dilantik dapat menjalankan tugas, jangan lupa amalkan demokrasi,” katanya.
Pemilihan peringkat cabang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 20 April depan manakala pemilihan pucuk pimpinan pusat pada 24 Mei.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor Muhammad Izuan Kasim menawarkan diri bertanding sebagai Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN pusat.
Sebelum ini, Naib Presiden merangkap Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Naib Presiden merangkap ketua cabang KEADILAN Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan pertahan jawatan mereka.
ADN Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi pula akan menentang Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail untuk jawatan ketua bahagian KEADILAN Shah Alam.