Berbekalkan sebilah parang dan gergaji, dua beranak Orang Asli Suku Temuan Hassan Ruak, 56, bersama anak tunggalnya Adam Hassan, 20, keluar mencari buluh lemang seawal 7.30 pagi menuju ke pinggir hutan sekitar Kampung Sungai Congkak, Hulu Langat.
Ketibaan Ramadan dan Syawal sangat dinantikan kerana membuka peluang kepada mereka meraih rezeki berlipat kali ganda dan tempahan boleh diperoleh sehingga 100,000 batang buluh lemang semusim.
Buluh lemang itu dijual pada harga RM1 sebatang kepada pelanggan terdiri peniaga lemang dari Lembah Klang dan negeri berdekatan. Selain itu, orang persendirian dan perniagaan perkhidmatan sajian makanan juga turut membuat tempahan.
Pengalaman sejak awal 90-an bekerja mencari buluh bersama saudara mara membuatkan kemahiran dan ketelitian memilih buluh sangat mudah. Hassan memilih spesis buluh padi kerana ukurannya yang sesuai dan kulitnya tidak terlalu tebal.
Selain itu, buluh yang dipilih perlu mempunyai saiz corong yang tepat mengikut kehendak pelanggan. Purata dalam sehari hingga jam 5 petang, Hassan dan anaknya mampu mendapatkan kira-kira 1,500 batang buluh lemang.
Jurufoto FIKRI YUSOF merakam aktiviti dua beranak mualaf itu pada 14 Mac 2025 dari mencari, memotong, mengikat, memikul sehinggalah menunggu peraih buluh lemang mengambil pesanan mereka.









