Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou yang turun memulakan cabaran kategori SU5 dalam kumpulan A tidak berdepan masalah menewaskan wakil tuan rumah Shi Sheng Zhuo 21-10, 21-7 pada perlawanan pertama di Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China pada 21 Oktober 2023. Foto Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia
AGENDASUKANKINI

Cheah Liek Hou pertahan dua emas di Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol 2025

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Jaguh badminton negara Cheah Liek Hou membuktikan usia bukan penghalang untuk mencipta kegemilangan dengan menambah koleksi kejuaraan apabila menyapu dua pingat emas di Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol 2025 Tahap 1 di Toledo yang berakhir semalam.

Liek Hou yang menjengah usia 37 tahun pada 8 Mac, melakar kejayaan pertama bangkit daripada ketinggalan di set pertama untuk menundukkan wakil Taiwan Fang Jen-Yu 18-21, 21-17, 21-11 dalam final perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).

Pemenang dua pingat emas Sukan Paralimpik itu meneruskan momentum cemerlang apabila menambah kilauan emas acara beregu lelaki SU5 bersama gandingannya Muhammad Fareez Anuar, menewaskan Jen Yu-Pui Gui Yu dari Taiwan 21-13, 21-18.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu menyifatkan kejayaan mempertahankan gelaran dimenanginya pada edisi lalu sebagai hadiah hari jadi paling manis buat dirinya.

“Walaupun persediaan ke pertandingan ini sangat singkat tetapi saya masih dapat mengatasi tekanan dan kecederaan yang saya hadapi sejak kebelakangan ini. Saya berterima kasih kepada penaja baharu dan yang masih sudi menyokong saya.

“Kepada penyokong setia saya, terima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus sepanjang kejohanan dan perjalanan saya. Saya akan melakukan yang terbaik demi anda semua dan negara tercinta, Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, kem negara turut membawa pulang satu lagi pingat emas menerusi beregu berkerusi roda Muhammad Ikhwan Ramli-Noor Azwan Noorlan dalam kategori WH1-WH2.

Muhammad Ikhwan turut menyumbang perak dalam acara perseorangan WH1, manakala Muhammad Fareez dan Mhd Amin Burhanuddin masing-masing meraih gangsa dalam acara perseorangan lelaki SU5 dan perseorangan lelaki SL4 (ketidakupayaan fizikal).

– BERNAMA


Pengarang :