SEPANG, 20 MAC: Seramai 60,726 usahawan sudah menerima manfaat Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menerusi pembiayaan berjumlah RM858,068,500 sejak 2015 hingga Februari tahun ini.
EXCO Usahawan Mohd Najwan Halimi berkata dari jumlah itu 5,957 pembiayaan membabitkan RM65,147 disalurkan kepada usahawan di daerah Sepang dalam tempoh sama.
“Sejak ditubuhkan pada 2015, Hijrah memainkan peranan sangat penting dalam membangunkan ekosistem keusahawanan di negeri ini menerusi pembiayaan mikrokredit.

“Alhamdulillah sehingga hari ini Hijrah masih lagi kekal sebagai agensi yang membantu mengembangkan perniagaan sekali gus meningkatkan taraf hidup usahawan,” katanya.
Beliau ditemui selepas melancarkan kempen “10 Tahun Kecemerlangan: Memperkasa Usahawan” anjuran Hijrah di Bazar Ramadan Taman Putra Perdana di sini hari ini.
Dalam pada itu, Najwan berkata kempen bertujuan meraikan satu dekad pencapaian agensi tersebut sebagai peneraju pembiayaan mikro dan menghargai kejayaan usahawan di Selangor.
“Sambutan di daerah Sepang hari ini merupakan siri pertama dan akan diteruskan hingga 10 siri di daerah lain sepanjang tahun,” katanya.
Pada masa sama, Najwan turut mengedarkan 500 kupon digital Platform Selangor (PLATS) bernilai RM10 kepada pengunjung di bazar Ramadan berkenaan.

