EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi (tengah) ketika merasmikan Festival Raya Selangor Havoc 2025 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 27 Februari 2025. Foto SITI ROHAIZAH/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Festival Raya Selangor Havoc sasar nilai jualan RM10 juta, sedia RM10,000 baucar

SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan Negeri yakin program Festival Raya Selangor Havoc 2025 mampu mencapai sasaran transaksi jualan RM10 juta dalam tempoh lima hari penganjurannya.

EXCO keusahawanan berkata keyakinan itu berdasarkan situasi kuasa membeli pengguna yang semakin meningkat khususnya selepas pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi bercakap kepada media pada majlis iftar bersama Belia Negeri Selangor 2025 di Petals Event Space, Seksyen 7, Shah Alam pada 17 March 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Kita sasarkan unjuran jualan RM10 juta dan kita jangkakan persiapan Aidilfitri tahun ini, masyarakat akan berbelanja kerana kuasa membeli semakin baik kesan kenaikan gaji penjawat awan.

“Kita tengok bazar Ramadan pun dapat sambutan, hanya cuaca sahaja yang membataskan jualan,” kata Mohd Najwan Halimi ditemui pemberita pada Majlis Iftar bersama Belia Selangor di sini.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi bergambar bersama pengerusi induk Penggerak Belia Selangor yang menerima watikah pada majlis iftar bersama Belia Negeri Selangor 2025 di Petals Event Space, Seksyen 7, Shah Alam pada 17 March 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Mohd Najwan menambah, festival raya yang bermula Jumaat ini di Pusat Konvesyen Setia City menyediakan baucar berjumlah RM10,000 kepada pengunjung terawal.

Selain itu, katanya, Festival Raya Selangor Havoc 2025 menampilkan lebih 30 vendor artis tempatan serta pengisian persembahan berunsur kerohanian bagi menghormati 10 malam terakhir Ramadan.

“Kita menyediakan ruangan untuk beribadat dan tidak ada artis penyanyi wanita untuk sesi persembahan. Kita mahu pastikan penganjuran menghormati sensitiviti bulan Ramadan,” katanya.

Buat julung kali, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Havoc Event & Management Sdn Bhd menganjurkan Festival Raya Selangor Havoc 2025 selama 108 jam tanpa henti bermula 21 hingga 25 Mac.

Festival berkenaan bakal menghimpunkan 180 vendor menjual pelbagai persiapan Aidilfitri dengan sasaran kehadiran seramai 2.5 juta pengunjung.


Pengarang :