Selangor merancakkan usaha memartabat kefahaman Islam dengan menganjurkan Festival Turath Islami 2025, kali ini menampilkan enam ulama dari Mesir, Maghribi, India dan Pakistan.
Program siri ketiga itu tertumpu kepada bidang tafsir al-Quran melalui kupasan dua kitab tafsir terkenal berjudul Tafsir Jalalain dan Usul Tafsir, karangan Imam Jalaluddin al-Suyuti.
Tafsir Jalalain pada asalnya dikarang Imam Jalaluddin al-Mahalli yang meninggal dunia pada 1459 sebelum anak muridnya al-Suyuti menyempurnakan penulisan tersebut.
Daripada enam ulama yang mengupas dua karya agung al-Suyuti, dua daripadanya berasal Maghribi dan Mesir. Seorang ulama tafsir dan qiraat al-Quran Maghribi Sheikh Mustafa Al-Bahyawi.
Seorang lagi, bekas Dekan Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar Prof Dr Abdul Fattah Abdul Ghani Al-Awari yang menguasai bidang tafsir dan ilmu al-Quran.
Pada 2023, ribuan peserta termasuk dari luar negara menadah kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali manakala kitab Hadis 40 susunan Imam Nawawi pada tahun berikutnya.
Mereka bertalaqqi dan mencatat kupasan ilmu yang disampaikan bekas Mufti Agung Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab, tokoh utama dalam festival berkenaan.
Seramai 18 tokoh tempatan dan antarabangsa berkongsi ilmu dalam 50 sesi pengajian di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam antara 12 hingga 19 Julai.
Berbanding program sebelum ini, festival turath kali ini dianggap antara yang menarik lantaran dua kitab dibahas berbanding satu karya sahaja sebelum ini.
“Tafsir Jalalain sering dibaca dan dilazimi oleh rakyat Malaysia. Hanya tujuh surah pilihan sahaja diberi tumpuan,” kata Pengarah Sekretariat Festival Turath Farhan Afandi pada 12 Mac.
Selain pengajian berkitab, sekretariat festival turut menjemput 30 penerbit dan penjual buku bagi memeriahkan lagi acara yang diilhamkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Turut diselitkan, acara bacaan dan kupasan buku himpunan selawat Dalail al-Khairat dan pameran berkaitan pondok dan pasantren di nusantara.
