SUBANG JAYA, 27 MAC: Harga barangan asas menjelang Aidilfitri minggu depan terkawal hasil usaha berterusan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Perdana menteri berkata penganjuran program jualan murah Rahmah oleh syarikat seperti Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) juga membantu kerajaan memastikan kestabilan bekalan pada musim perayaan.
“Saya dalam kerajaan dan jadi menteri sejak 1980-an serta pengerusikan jawatankuasa kabinet kawalan harga menjelang hari kebesaran seperti hari raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.
“Pertama kali dalam sejarah saya lihat, sebelum menjelang Aidilfitri, harga terkawal, tiada kekurangan harga, bekalan dan pemantauan KPDN memastikan harga itu turun.
“Ini perkembangan yang belum saya lihat sejak aktif dalam pemerintahan pada 1980-an, terima kasih kepada semua syarikat, penguatkuasa, kementerian berkenaan,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, Anwar merasmikan program Singgah Madani anjuran KPDN dan Akademi Kenegeraan Malaysia (AKM) di pusat membeli-belah Mydin, Subang Jaya di sini, hari ini.
Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari.
Antara pengisian program adalah penerangan tentang dasar dilaksana kerajaan Madani kepada orang awam dan kempen penurunan harga oleh KPDN.
Pada masa sama, Anwar yang juga menteri kewangan turut mengagih bubur lambuk kepada pengunjung yang disediakan Kemeterian Perpaduan Negara.
Selain memantau harga barangan, Anwar turut meninjau jualan ‘Happy Hour’ dianjur Mydin yang menawarkan harga istimewa RM1.00/Kg untuk pembelian terawal 500 ekor ayam.