Program kacau dodol antara aktiviti pada majlis perjumpaan usahawan dan berbuka puasa Tekun Nasional yang diadakan serentak di Taman Sungai Pinang, Klang dan Hulu Langat, Selangor pada 22 Mac 2025. Foto Facebook Tekun Nasional
AGENSISELANGOR

Hutang lapuk Tekun Nasional turun kepada RM120 juta pada 2024

KLANG, 23 MAC: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional berjaya mengurangkan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) atau hutang lapuk kepada RM120 juta tahun lalu berbanding RM380 juta sebelumnya.

Pengerusinya Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata sepanjang tahun lalu, pihaknya menyalurkan pinjaman berjumlah RM1.1 bilion kepada usahawan yang layak dan berjaya membuat lebihan kutipan bayaran balik melibatkan pinjaman terdahulu.

“Bagi tahun lepas, Tekun Nasional dapat semula apa yang telah dipinjamkan, dan data terkini menunjukkan lebihan bayaran yang diterima menjadikan hutang lapuk mengecil kepada RM260 juta.

“Oleh itu, Tekun Nasional berjaya menurunkan kadar NPL daripada 12.6 peratus kepada 9.8 peratus,” katanya selepas majlis perjumpaan usahawan dan berbuka puasa di Taman Sungai Pinang, Klang, di sini malam tadi.

Beliau berkata penurunan NPL itu menunjukkan program pendidikan kewangan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berjaya membantu usahawan mengurus kewangan dan merancang perniagaan dengan lebih baik, seterusnya membantu mereka melunaskan pinjaman terdahulu.

“Turut diadakan ialah kursus, seminar asas keusahawanan, pemantauan berkala, dan opsyen penstrukturan semula pinjaman kepada usahawan yang menghadapi masalah kewangan, termasuk pelan pembayaran yang lebih fleksibel,” katanya.

Pada majlis itu, Tekun Nasional menerima 27 permohonan pinjaman baharu daripada usahawan setempat merangkumi pelbagai kategori menerusi kaunter khas yang dibuka bermula 4 petang.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat (YBR) Faizah Ariffin, yang kemudiannya menyerahkan beg sekolah kepada 150 kanak-kanak sekitar Kapar.

– BERNAMA

 


Pengarang :