SHAH ALAM, 10 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyerahkan sumbangan endowmen RM60,000 kepada masjid, surau solat Jumaat dan rumah anak yatim sempena Ramadan, pada 7 Mac lalu.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata sumbangan bertujuan membantu institusi agama berkenaan mengimarahkan program Ramadan selain berkongsi kegembiraan dengan rumah-rumah kebajikan.
“Sumbangan disampaikan Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad melibatkan 22 masjid, 25 surau solat Jumaat dan sembilan rumah anak yatim dalam satu majlis di Masjid Al-Azim, Pandan Indah.
“Setiap institusi menerima wang tunai RM1,000. Turut disampaikan sumbangan duit raya RM20 kepada 300 anak yatim,” maklumnya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, MPAJ memaklumkan pihaknya mengumpul sumbangan endowmen RM334,186 setakat 9 Mac lalu dan mengalu-alukan orang ramai untuk terus menyumbang kepada tabung endowmen MPAJ.
“Melalui sumbangan ini, pihak MPAJ berpeluang melaksanakan lebih banyak inisiatif dan program yang memberi manfaat dan digunakan semula untuk kebaikan warga Ampang Jaya,” katanya lagi.
Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (No. Akaun 12122010044609) atau secara dalam talian melalui iCOMM MPAJ.