BUDAYARENCANA

Kerana percayakan Siti, kami…

Oleh Francis Ng
Ilustrasi Fahmu Mustaffa

KERANA percayakan Siti, kami mengintai-intai dari tempat duduk penonton, kerja seni apa dan bagaimana yang sedang ditatap oleh para pelakonnya di ruang pentas itu? Pementasan belum lagi bermula. Dan kelihatan kesemua pelakon yang akan beraksi dalam teater kompilasi ini sedang berlegar-legar di sekitar ruang pentas—adakalanya duduk sebentar sebelum kembali bangun dan berjalan—menatap satu persatu “karya” seni rupa yang sedang dipamerkan. Sesekali menjenguk apa yang sedang dilakar oleh Anwar Rusdini selaku satu-satunya pelakon yang duduk. Hanya bilamana pementasan dimulakan dengan “Terang Malam”, barulah kami diberitahu yang ruang ini ialah sebuah galeri. Sebuah “galeri” yang mempamerkan “karya-karya” di atas kekuda, bukannya digantung!

Kerana percayakan Siti, kami ingin benar menonton bagaimana sesebuah teater kompilasi berfungsi. Tambahan lagi, Kerana Percayakan Siti memuatkan tiga drama pendek (playlet) yang setiap satunya berdurasi sekitar empat puluh lima minit: “Terang Malam”, “Sabalik Baju” dan “Perempuan Perang”. Ketiga-tiganya merupakan tulisan dan arahan Afiza Asram yang juga merupakan lepasan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam bidang teater. Ketiga-tiganya mengetengahkan para wanita sebagai watak utama dalam drama pendek masing-masing. Ketiga-tiganya sedang cuba menyingkap pengalaman wanita dengan isu-isu feminisme yang melingkari hidup mereka, yang kerap kali ditenggelamkan oleh khalayak kita. Teater kompilasi terbitan Storyteller Production ini telah membuka tirainya pada 4 Oktober 2024 dan berlangsung hingga 6 Oktober 2024 di Black Box, Damansara Performing Arts Centre (DPAC). Kerana Percayakan Siti turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan 2024 (GSSK 2024).

Kerana percayakan Siti, kami seperti sedang menyusun suai gambar (jigsaw puzzle) daripada kepingan-kepingan cerita yang diluahkan oleh Pelukis (Anwar Rusdini) dan Moon (Nadia Brian) dalam “Terang Malam. Kami fikir mana-mana audiens pun akan berbuat begitu. Walaupun cerita mereka—yang diaksikan semula dengan selingan demi selingan imbas kembali—yang perlahan-lahan saling melengkapi ini semakin mudah ditebak. Semakin senang dijangka. Dialog-dialog yang dilontar—kerana terlalu ingin menyuap kami selaku audiens—kerap kali kedengaran lewah. Misalnya dalam salah sebuah adegan penting yang menjadi titik temu kepada kedua-dua jalan cerita di mana kami diberitahu yang seseorang watak itu “kena tikam!” setelah diberitahu ada “darah” dan “pisau di dada”. Fragmen-fragmen imbas kembali dengan dialog yang lewah sebegini sering sahaja mengendurkan ketegangan, melunturkan saspens. Adakala tidak semua maklumat perlu disuap sehabis-habisnya kepada audiens. Kadangkala ketiadaan dan kekosongan yang akan menjadi ruang untuk kami berimaginasi.

Kerana percayakan Siti, kami ternampak bayangan tahun 1998 di sela-selanya. Moon ada beritahu bahawa kawan-kawan bapanya yang turut serta hendak merompak itu ialah mereka yang dibuang kerja (dek krisis kewangan Asia pada waktu itu). Dan kami juga diberitahu oleh kedua-dua watak Pelukis dan Moon ini yang terpisah sejak kecil setelah ibu dan bapa mereka berpisah, justeru melorongkan hidup masing-masing ke dalam kelas sosial yang berbeza. Sehingga membuatkan Moon (yang sebenarnya ingin merompak di galeri Pelukis) tidak ‘nampak’ atau tidak dapat menilai sesebuah hasil kerja seni. Dan kami tidak boleh juga menyalahkan gadis ini. Kerana apabila direnung satu persatu “karya” yang dipamerkan itu, kesemuanya ialah “lukisan” atau “catan” (kalaulah boleh dipanggil “lukisan” dan “catan”) yang teruk. Persis lukisan-lukisan dekorasi yang sering ditemukan di sudut hiasan rumah di dalam gedung membeli-belah.

Kerana percayakan Siti, kami terganggu dengan “karya-karya” yang tidak digantung ini. Sepertinya ada sesuatu yang sedang dimain-mainkan oleh sinografernya di sini. Kerana selalunya kerja seni yang belum siap sahaja masih dibiarkan bersandar di atas kekuda. Salah seorang daripada kami terkenang-kenang akan kata-kata guru pendidikan seninya sewaktu di sekolah dahulu, “Benda tak siap memanglah tak cantik.” Dan karya yang dipilih secara tidak sengaja oleh Moon untuk dirompak ialah sebuah lukisan atau catan kecil yang bukannya daripada atas kekuda. Diberitahu pula oleh Pelukis sebagai karya paling bernilai di galeri itu. Sememangnya karya itulah yang paling indah antara kesemua “karya” di ruang pentas, yang langsung mengingatkan kami kepada catan magis Anuar Rashid.

Kerana percayakan Siti, kami masih terganggu dan kali ini bukan sahaja dengan “karya-karya” malahan dengan rekaan set “galeri” ini sendiri. Keputusan pengarahan untuk menggunakan latar galeri sebagai ruang untuk mempertemukan Pelukis dan Moon semata-mata dilihat tidaklah begitu berkesan. Selain menempurungkan Pelukis di bawah stereotaip seorang seniman romantikus yang suka bermadah semata-mata, turut memperleceh Moon—kalaupun benarlah dia seorang perompak—sebagai seorang yang tidak mahir, tidak licik apatah lagi untuk hadir dengan kebijakan (wisdom). Sedangkan dia sudah dilatih sejak kecil. Di dalam “galeri” ini, dia tidak tahu apa yang ingin dirompak! Selain pertembungan gender yang diselesaikan dengan masing-masing saling melengkapi (menerusi semudah-mudah perbezaan sudut pandangan dan imbas kembali), ada potensi-potensi lain yang boleh diteroka sebenarnya dalam memaknakan sifat dan sikap seseorang Pelukis dengan lakaran dan lukisan dan imej (menerusi dramaturgi berserta sinografi) dalam “Terang Malam” ini. Sebelum dimaknakan lagi dengan tindak merompak atau mencuri yang mungkin mampu mempermain dikotomi dapat-hilang.

Kerana percayakan Siti, kami tertunggu-tunggu juga lagu “Percayakan Siti” oleh kugiran Exists dimainkan. Kerana dalam baris-baris seni kata tulisan Rosli Khamis atau lebih dikenali sebagai Loloq itu, ada dinyanyikan: “Mahu bikin benda seni, bukan boleh bikin dengan suka hati.”

 

 

 

 


Pengarang :