BUDAYARENCANA

Kubur Tanpa Tuhan

Oleh Jaya Ramba

Inilah daerah sempadan wilayah kami dengan negara bersultan. Aku bersekolah di daerah ini. Pada hari ini aku datang kembali kerana seperkara, “kubur tanpa Tuhan”. Ketika semua penduduk bercerita tentangnya, tapak tanah yang pernah bersih, sekosong dada langit selepas hujan, sekosong lautan sebelum angin membadai. Namun, kini ia berisi—bukan dengan pohon rendang atau alunan rumput liar, tetapi pusara yang asing.

Aku terperanjat melihatnya, seolah-olah bumi yang selama ini lena telah bersuara dalam bahasa yang tidak kufahami. Kubur-kubur itu berbaris sunyi, nisan tanpa ayat suci, hanya berteman meja kayu, kerusi tua, dan barang-barang yang seakan menunggu pemiliknya kembali. Aku bertemu dengan seorang sahabat.

“Kubur mereka yang tanpa Tuhan,” katanya memeranjatkan aku.

Siapa mereka? Siapa yang dikatakan tanpa Tuhan? Aku ternganga. Lama aku termenung sambil mataku merayap tidak putus-putus di kawasan kubur yang dimaksudkan. Aku tahu inilah zaman termoden. Aku bertanya di dalam hati, masih adakah bangsa dan etnik di negeri ini tanpa anutan dan kepercayaan?

“Biar betul?!” Aku membalas pengakuan Emang.

Mula-mula aku segan memijak kaki ke kawasan perkuburan ini. Aku benar-benar mahu pastikan ada sebarang bukti catatan. Aku mendekat, meraba batu yang tidak bernama, mencari sebarang petunjuk. Kata orang, mereka bukan penganut mana-mana agama, tidak bersujud kepada Tuhan, tidak mewarisi adat keturunan. Jika begitu, roh mereka berlabuh di mana? Langit mana yang menampung doa untuk mereka? Aku kesal dan berdebar-debar, aku berdoa di dalam hati.

“Aku harus tahu. Di mana keluarga mereka?” aku bertanya kepada Emang, malah aku bertanya kepada beberapa orang sahabat yang menetap di sini, dan hati aku berkata lagi, aku harus menjejak mereka.

Aku tidak langsung pulang ke bandar, kerana aku ingin tahu tentang mereka yang dikatakan tanpa Tuhan. Aku melangkah ke rumah panjang yang pertama, sebuah rumah panjang moden di tebing bukit, dikelilingi rimbunan hutan yang diam. Di beranda, seorang lelaki tua sedang menganyam rotan, wajahnya dipenuhi garis-garis usia. Aku memberi salam, namun dia hanya mengangguk perlahan, matanya redup seperti menyimpan sesuatu yang tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Sahabat yang menyertai aku mendekatinya kerana dia kenal penghuni di sini. Kami langsung berbual di ruai.

“Kubur tanpa Tuhan. Aku ingin tahu! Kubur siapa? Daripada bangsa mana?” ujarku, sambil memerhatikan ruai rumah panjang.

Ketika ini beberapa penghuni rumah panjang merapati kami. Orang tua itu menarik nafas panjang. “Kami tidak tahu siapa mereka. Tapi setiap kali ada kematian, barang-barang akan muncul di atas kubur itu. Tiada yang berani menyentuhnya.” Kata seorang pemuda yang juga pelik dengan kawasan kubur yang menjadi buah mulut penduduk daerah ini.

Aku mengerut dahi. Mereka menggeleng. “Seakan-akan angin malam yang membawa dan menyusunnya sendiri. Mereka yang dikuburkan di sana… bukan daripada bangsa kami. Mereka bukan penyembah langit atau penjunjung adat. Mereka—” Orang tua menyelat.

Aku dan Emang berlalu ke rumah panjang di hujung. Jawapan mereka hampir serupa. Tiada siapa yang benar-benar mengenali mereka yang bersemadi di situ. Hanya satu perkara yang pasti—mereka adalah orang-orang yang tidak ber-Tuhan. Aku menyoal diri, siapa mereka yang tanpa Tuhan? Lalu, aku dan Emang berjumpa saudaranya, daripada anutan kristin.

“Apa yang terjadi kepada roh mereka?” tanyaku.

Dia mengangkat senyum. “Tiada siapa tahu. Mungkin mereka lenyap seperti kabus pagi. Atau mereka masih berjalan di antara kita, mencari sesuatu yang tidak pernah mereka temui semasa hidup.” Kata-kata orang tua itu merunsingkan aku.

Ketika pulang, aku memandang kembali ke arah tanah kubur itu. Tiada doa yang dibisikkan untuk mereka. Tiada nama yang dipahat pada batu. Hanya barang-barang yang menjadi saksi sunyi kehidupan mereka yang telah hilang. Mungkinkah mereka benar-benar telah lenyap… atau mereka masih menunggu sesuatu?

Aku berlaku ke sebuah rumah panjang saudaraku, di ruai rumah panjang terakhir yang aku kunjungi malam itu, seorang lelaki separuh abad duduk bersila. Wajahnya samar-samar berlumur cahaya lampu minyak tanah, bayang-bayangnya menari pada dinding kayu tua. Dia menatapku dengan mata yang penuh rahsia, seolah-olah aku telah bertanya sesuatu yang tidak patut dipersoalkan.

“Anak muda, ingin tahu tentang mereka?” suaranya dalam, seperti akar yang menghunjam perut bumi.

Aku mengangguk.

“Mereka bukan seperti kita. Mereka hidup seperti manusia purba yang sesat di zaman ini. Tidak percayakan Tuhan, tidak mengamalkan doa, tidak mengangkat tangan ke langit. Bagi mereka, tanah adalah ibu, gunung adalah bapa, sungai adalah nadi, dan hutan rimba adalah jiwa. Mereka tidak memerlukan agama kerana mereka percaya alam sendiri sudah cukup menjadi kitab yang tertulis tanpa aksara.” Orang tua itu senyum.

Aku termenung sejenak. “Tapi… mengapa barang-barang mereka diletakkan di kubur?”

Orang tua itu tertawa kecil. “Mereka tidak percaya pada harta yang diwariskan. Harta adalah milik jasad, dan bila jasad mati, harta harus dikembalikan. Keluarga mereka tidak berhak menyimpan walau sekecil-kecil benda, kerana itu dianggap mencuri daripada yang telah pergi.”

Aku menghela nafas panjang, mencerna kata-katanya. Falsafah ini begitu asing bagiku. Di dunia moden, manusia berlumba-lumba mengumpul harta, membina empayar untuk keturunan, mencipta legasi yang ingin diingati. Namun bagi mereka yang dikuburkan di tanah itu, harta bukan warisan, tetapi beban yang harus dikembalikan kepada alam.

“Mereka percaya bahawa manusia harus mati sebagaimana mereka hidup,” sambung lelaki itu. “Tanpa warisan, tanpa ikatan, tanpa sejarah yang tertulis di batu-batu. Mereka hanya kembali ke pangkuan tanah, seperti daun yang gugur ke bumi, melebur tanpa jejak.”

Aku teringat akan kubur itu, melihat kerusi, meja, kain lusuh, dan barang-barang yang berserakan di atasnya. Tiada nisan, tiada tanda, hanya benda-benda bisu yang menjadi saksi kehidupan yang tidak mahu dikenang.

Aku tertanya-tanya—apakah yang lebih kekal? Nama yang terpahat di batu atau kehidupan yang dibiar lenyap bersama angin?

“Seperti pemimpin yang ditangkap rasuah. Masa depan mereka musnah!” Tutur hatiku, dalam mencari jawapan tentang perkuburan tanpa Tuhan.

 

 


Pengarang :