SHAH ALAM, 20 MAC: Penganjuran majlis khatam al-Quran wanita Selangor yang memasuki tahun kelima seiring hasrat menjadikan negeri ini sebagai pusat keilmuwan dan pengajian Islam.
EXCO pembangunan wanita berkata program tersebut bukan sekadar satu simbolik tetapi bertujuan menyuburkan syiar Islam dengan mengajak seluruh umat menghayati kitab suci serta menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.
“Kita percaya pembinaan modal insan yang holistik, tunjangnya ialah pada kepercayaan kepada Allah serta akidah yang mantap. Akhirnya ia akan membuahkan ibadah yang sahih dan akhlak yang mulia.
“Bukan itu sahaja, dalam era kini, golongan wanita harus memainkan peranan penting untuk memandu keluarga dan memimpin masyarakat agar berpegang teguh dengan ajaran al-Quran,” kata Anfaal Saari dalam sembah ucapan sempena majlis khatam al-Quran wanita Selangor yang disertai 700 peserta.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang turut berkenan melafaz ucapan perasmian.
Dalam pada itu, Anfaal berkata pentadbiran negeri akan menjadikan majlis khatam al-Quran sebagai acara tahunan sekali gus memperkukuh ukhuwah serta memperkasa peranan muslimah.
“Acara ini akan terus dijadikan majlis tahunan yang bukan sahaja meraikan kejayaan kita menyempurnakan bacaan 30 juzuk al-Quran tetapi memperkukuh ukhuwah serta memperkasa peranan wanita muslimah,” katanya.
Selangor turut merancakkan usaha memartabat kefahaman Islam dengan menganjurkan Festival Turath Islami. Mula dianjurkan pada 2023, festival tersebut adalah ilham Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang mahu menghidupkan pengajian Islam secara tradisional di negeri ini dan seterusnya berkembang ke seluruh negara.
Pada 2023, program itu menumpukan bidang tasauf yang disampaikan bekas Mufti Agung Mesir Prof Dr Ali Juma’ah Muhammad Abdul Wahab yang mengupas kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali.
Pada tahun lalu, tumpuan perbincangan terarah kepada bidang hadis yang menyaksikan Dr Ali Juma’ah diundang sekali lagi bagi mengupas kitab Hadis 40 Imam Nawawi.
Selain itu, Pameran Al-Wahyu juga diadakan pada tahun sama menampilkan ulama terkenal manuskrip tulisan tangan Sheikh Nuruddin Ar-Raniri selain pelbagai kitab koleksi individu.



