Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor menyelamatkan mangsa banjir di Pontian, Tebrau dan Larkin pada 20 Mac 2025. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor
AGENDANASIONAL

Mangsa bah Johor meningkat kepada 3,694 orang takat 8 malam ini

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 3,694 orang setakat 8 malam ini, berbanding 2,550 orang yang direkodkan petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa daripada 917 keluarga itu ditempatkan di 84 PPS yang beroperasi di lima daerah terjejas.

Beliau berkata daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,288 orang diikuti Kota Tinggi (733), Pontian (688), Kulai (506) dan Kluang 479 orang.

“Terdapat sembilan sungai dilaporkan melebihi paras bahaya iaitu stesen Sungai Lenik di Ladang Chaah dengan bacaan 6.13 meter (m), Batu Pahat; Sungai Kahang di Kampung Contoh (15.37m), Kluang; Sungai Siam di Kampung Sungai Siam (22.65m) dan Sungai Siku di Kampung Murni Jaya (18.71m), Kulai.

“Selain itu, Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai (3.82m), Pontian; Sungai Skudai di Kampung Laut (5.13m), Parit Keliling di Kampung Pasir (1.38m) dan Sungai Tiram di Kampung Bukit Dagang (5.04m), Johor Bahru; serta Sungai Paya Dato di Mersing (2m),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azmi, dua jalan di Kota Tinggi iaitu Jalan Lukut Cina (Taman Aman) dan Jalan Mawai Lama (sebelum Rumah Burung) ditutup kepada semua jenis kenderaan susulan arus deras.

Sementara itu di Sabah, seramai 1,190 mangsa daripada 367 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir yang melanda enam daerah di negeri itu, setakat 8 malam ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan 912 orang daripada 290 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Kota Marudu dan 132 orang daripada 32 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Sandakan.

Menurut kenyataan itu 92 orang daripada 26 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Beluran, 33 orang daripada 10 keluarga di dua PPS di Paitan, 11 orang daripada tiga keluarga di satu PPS di Matunggong dan 10 orang daripada enam keluarga juga di satu PPS di Pitas.

“Sebanyak 14 kampung terjejas iaitu lima di Kota Marudu, masing-masing dua di Sandakan, Beluran, Paitan dan Matunggong serta satu kampung di Pitas,” menurut jawatankuasa itu.

– BERNAMA


Pengarang :