Datuk Bandar Mohamad Zahri Samingon mempengerusikan Majlis Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di ibu pejabat MBPJ pada 24 Mac 2025. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya
PBTSELANGOR

MBPJ keluar 144 kompaun pembuangan sampah haram takat 18 Mac

SHAH ALAM, 24 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan 144 kompaun berhubung pembuangan sampah haram setakat 18 Mac tahun ini.

Datuk Bandarnya berkata penguatkuasaan itu dibuat menerusi program PJ Watch iaitu pemantauan dan rondaan berkala oleh anggota penguat kuasa yang menyamar orang awam.

Menurut Mohamad Zahri Samingon, pemantauan turut dijalankan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bergerak di 11 lokasi tumpuan pembuangan sampah haram.

“Menerusi rakaman CCTV terdapat 12 individu dan 16 kenderaan melakukan kegiatan pembuangan sampah haram dengan 43 lokasi tumpuan dikesan.

“Bagaimanapun, jumlah tangkapan 14 individu, tiga kenderaan dan sembilan syarikat dikenakan kompaun,” katanya menerusi kenyataan selepas mesyuarat penuh MBPJ hari ini.

Tambahnya, berdasarkan analisa data penguatkuasaan terdapat peningkatan tangkapan pembuangan sampah haram oleh pemegang lesen perniagaan di Petaling Jaya.

“Oleh itu, MBPJ memberi peringatan kepada pemegang lesen perniagaan agar mengamalkan pengurusan sampah yang teratur dan mematuhi peraturan bagi mengelak tindakan dikenakan.

“Semua pihak diseru bekerjasama dalam menjaga persekitaran yang bersih dan selamat demi kesejahteraan penduduk Petaling Jaya,” katanya.

 


Pengarang :