Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin menunjukam kod QR Platform Selangor (PLATS) Masuk Bazar ketika mencemar duli mengunjungi bazar Ramadan SS6/1, Petaling Jaya pada 11 Mac 2025. Hadir sama EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin (dua, kiri), EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah (kanan) dan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad (dua, kanan). Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBPJ peruntuk RM30,000 agih 2,000 kupon digital di enam bazar Ramadan

PETALING JAYA, 11 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntuk RM30,000 bagi pengagihan kupon digital Platform Selangor (PLATS) di enam bazar Ramadan.

Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata 2,000 kupon digital bernilai RM15 setiap satu diagihkan kepada pengunjung bazar bagi menggalakkan amalan pembayaran tanpa tunai.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon bercakap kepada media selepas Program Santuni Bazar Ramadhan SS 6/1, Petaling Jaya pada 11 Mac 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Pengunjung boleh tebus kupon di gerai di bazar Ramadan dengan setiap kupon berjumlah RM15,” katanya pada program Santuni Bazar Ramadan ‘Bahagia dan Lestari’ anjuran MBPJ di sini, hari ini.

Selain itu, katanya pemantauan di 18 bazar Ramadan MBPJ setakat ini mendapati tiada peniaga menjual permit sementara kepada pihak ketiga.

“Terima kasih kepada peniaga kerana tidak sewakan lot perniagaan kepada orang lain. Ini juga bagi menyahut saranan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) agar tiada peniaga ambil kesempatan buat keuntungan atas angin bila jualkan tapak kepada peniaga lain. Setakat ini PJ (Petaling Jaya) tiada,” katanya.

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menyampai Bakul Bahagianya Ramadan@PJ 2025 kepada 30 penerima ketika mencemar duli menghadiri Program Santuni Bazar Ramadhan SS 6/1, Petaling Jaya pada 11 Mac 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Selain itu, menurutnya, menerusi tindakan penguatkuasaan di bazar Ramadan MBPJ sejak 1 Mac hingga semalam, sebanyak 153 notis, kompaun (131) dan sitaan (14) dikeluarkan kepada peniaga atas pelbagai kesalahan.

“Kita tidak halang mereka berniaga tapi patuhi peraturan yang ditetapkan semasa penyerahan petak,” katanya.

Tahun ini pihak berkuasa tempatan itu menawarkan 1,260 petak perniagaan di 18 lokasi bazar.

MBPJ menerusi kenyataan memaklumkan kupon digital boleh ditebus di enam bazar Ramadan berikut:

  • SS 6/1, Kelana Jaya (hari ini)
  • Seksyen 4, Kota Damansara (14 Mac)
  • Seksyen 7, Kota Damansara (17 Mac)
  • Jalan PJS 2/3, Taman Medan (19 Mac)
  • Jalan PJS 1/30, Taman Sri Manja (24 Mac)
  • Vista Business Centre, Damansara Damai (25 Mac)

Pengarang :