Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berucap sempena majlis penyampaian sumbangan bakul Ramadan kepada kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Dewan Banquet MBPJ, Petaling Jaya pada 3 Mac 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
PBTSELANGOR

MBPJ tawar geran komuniti, biaya dari RM5,000 hingga RM50,000

SHAH ALAM, 24 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menawarkan Geran Komuniti Petaling Jaya Mampan (PJ Seed) 7.0 dengan pembiayaan minimum RM5,000 hingga RM50,000.

Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata permohonan boleh dikemuka dari 3 Mac sehingga 30 Mei ini kepada urusetia PJ Seed atau layari laman sesawang www.mbpj.gov.my.

Menurutnya, geran itu bertujuan memberi peluang kepada masyarakat merancang dan melaksanakan projek menerusi 10 bidang berkaitan ke arah menuju Petaling Jaya Mampan 2030.

“PJ Seed sudah memasuki tahun ketujuh pelaksanaan dan ia akan terus diperkasa bagi memberi sokongan kepada inisiatif komuniti.

“Sejak diperkenal, MBPJ meluluskan 153 projek dengan peruntukan RM2.7 juta yang disalurkan kepada organisasi terpilih dan layak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelasnya, 10 bidang berkenaan adalah Bandar Pintar dan Ekonomi Digital, Bandar Hijau dan Ekonomi Hijau, Pekeliling Ekonomi, Bandar Rendah Karbon serta Bandar Selamat.

Ia juga termasuk Bandar Mesra Kanak-kanak, Bandar Pembelajaran, Pengangkutan dan Infrastruktur Berdaya Tahan, Rekaan Universal juga Masyarakat 5.0.

“MBPJ berharap menerima lebih banyak permohonan menunjukkan standard tinggi bagi membantu meningkatkan prestasi kita menjadi pihak berkuasa tempatan yang cemerlang dan unggul,” katanya.

Tawaran terbuka kepada persatuan penduduk, rukun tetangga, majlis pengurusan komuniti kampung, badan pengurusan bersama, perbadanan bersama, persatuan ibu bapa dan guru, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, tempat ibadat serta badan/organisasi bukan kerajaan berdaftar.

Untuk sebarang pertanyaan, boleh hubungi urusetia Geran Komuniti Untuk Petaling Jaya Mampan di talian 03-79541440 atau email [email protected].


Pengarang :