PBTSELANGOR

MPAJ kesan individu salah guna nama PBT arah peniaga pindah

AMPANG JAYA, 26 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengesan individu menyalahgunakan nama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengusir peniaga di Kampung Tasek Permai, Jalan Permai D, dekat sini.

Ahli Majlisnya Mohammad Firdaus Babh ketika mendedahkan perkara itu berkata kehadiran beberapa individu di gerai berstatus Pembangunan Luar Bandar (PLB) adalah penipuan yang mahu mengusir peniaga.

“Saya terima maklumat mengatakan tiga individu datang meminta empat peniaga keluar dari gerai dalam tempoh seminggu dengan mendakwa ada surat MPAJ. Namun, apabila disiasat didapati tiada arahan begitu daripada MPAJ.

“Terdapat unsur salah guna nama MPAJ kerana setakat ini di peringkat Kerajaan Negeri juga belum ada keputusan berhubung gerai berstatus PLB sama ada diberikan lesen atau sebaliknya.

“Berikutan ini, kita mengecam tindakan ini dan satu laporan polis akan dibuat bagi memastikan keselamatan peniaga kerana mereka hanya berniaga untuk menampung kehidupan seharian,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ahli Dewan Negeri Teratai Yew Jia Haur

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Teratai Yew Jia Haur memaklumkan tindakan individu terbabit menghalau peniaga tanpa menunjukkan surat daripada MPAJ amat diragui.

“Peringkat ini tiada sebarang keputusan dibuat iaitu diberikan kepada mana-mana pihak untuk jalankan sebarang aktiviti. Individu yang hadir juga hanya mengatakan ada surat tetapi tidak isi kandungannya.

“Sebarang tindakan mestilah mengikut prosesnya bukan sesuka hati menghalau peniaga. Oleh itu, saya arahkan peniaga membuat laporan polis sebab menerima ugutan,” katanya.

Gerai PLB dahulunya diselia di bawah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) sebelum diserahkan kepada PBT bagi memastikan urusan penyelenggaraan dan pelesenan dapat dijalankan secara lebih efektif.

Pertukaran pengurusan itu dibuat ekoran kekangan pegawai dan peruntukan bagi menampung kos penyelenggaraan.

Gerai berkenaan diwujudkan bagi membantu peniaga mikro dan desa untuk menjalankan perniagaan, selain membantu menjana pendapatan serta meningkatkan tahap kehidupan mereka.


Pengarang :