SHAH ALAM, 17 MAC: Inisiatif TakNakBazir x MySaveFood dilaksanakan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berjaya menyelamatkan sebanyak 16.8 kilogram (kg) makanan dan minuman daripada dibazirkan.
Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Facebook berkata inisiatif itu bukan sahaja mengurangkan sisa makanan dari bazar Ramadan malah dapat membantu golongan yang memerlukan.
“Perincian jumlah makanan diselamatkan ialah minuman sebanyak 8.6kg dan kuih-muih (8.2kg). Namun kami masih kesal dengan tindakan segelintir peniaga yang membuang lebihan air ke dalam longkang.
“Kami menyeru semua pihak untuk lebih bertanggungjawab dalam menguruskan lebihan makanan dan minuman agar dapat dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.
Tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program MySave Food@ Bazar Ramadan yang dirintis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan diperluas ke semua PBT.
Program mengumpul makanan di bazar Ramadan adalah bagi membantu lebih ramai golongan memerlukan.