SHAH ALAM, 24 MAC: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) komited melaksanakan pemantapan penguatkuasaan terhadap pelbagai ketidakpatuhan peraturan serta pelanggaran undang-undang di kawasan pentadbirannya.
Yang Dipertuanya Nazli Md Taib berkata langkah itu penting bagi memastikan keharmonian dan kelancaran pentadbiran di peringkat tempatan.
Menurutnya, ia selaras amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan peranan penting penjawat awam, terutama agensi penguatkuasaan untuk melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dan berintegriti.
“Sehubungan itu, semua jabatan dan warga kerja MPKj mesti melaksanakan penguatkuasaan terhadap pelbagai ketidakpatuhan peraturan serta pelanggaran undang-undang yang berlaku.
“Pada masa sama, kita sebagai penjawat awam mesti kekal berdisiplin, berintegriti dan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Majlis Bilangan 3/2025 hari ini.
Dalam pada itu, katanya MPKj wajar mengamalkan konsep kesederhanaan dalam menganjurkan program atau majlis keraian, tanpa menjejaskan objektif serta pencapaian matlamat acara itu.
Katanya, ia selaras saranan Anwar supaya agensi dan jabatan kerajaan mengelak pembaziran dalam penganjuran program sepanjang Ramadan termasuk berbuka puasa.
“Kita perlu menggembleng usaha dan tenaga menjayakan sesuatu program dengan menggunakan peruntukan secara bijak dan tidak berlaku pembaziran,” katanya.
Perdana menteri sebelum ini berkata, program sebegitu tidak seharusnya dibuat secara bermewah-mewahan, sebaliknya perlu lebih bersederhana.
Menurut Anwar, jika amalan itu dapat dihentikan, peruntukan berkenaan dapat disalurkan kepada golongan memerlukan.