Pelumba berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meraih pingat emas dalam acara Keirin Wanita Elit pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 di Velodrom Nasional, Nilai pada 25 Februari 2025. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Nurul Izzah rehat panjang hingga Mei, manfaat cuti tumpu pemulihan

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Pelumba berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berpeluang untuk berehat panjang selepas mengalami kecederaan ketika menyertai Piala Negara-Negara UCI di Konya, Turkiye minggu lepas.

Beliau berkata buat masa ini dia tidak mempunyai sebarang kejohanan sehingga Mei dan masa yang ada akan dimanfaatkannya untuk sesi pemulihan dan berehat sebelum menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan dari 20 hingga 25 Mei ini.

“Keseluruhan semua pemulihan cukup, luka sudah mula kering kaki sudah mula baik dan saya sudah pergi Institut Sukan Negara (ISN) untuk periksa dan tiada yang teruk. Selepas di Turkiye minggu lepas, kejohanan lambat lagi dalam bulan Julai baru ada kejohanan yang besar.

“Kejohanan seterusnya kejohanan kebangsan bulan Mei. Sekarang saya fokus pemulihan, jadual di luar musim jadi saya cuti sampai raya, saya ada latihan sendiri,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Nurul Izzah berdepan detik malang di Piala Negara-Negara UCI di Konya, Turkiye minggu lepas apabila terjatuh selepas berlanggar dengan Makaira Wallace dari Trinidad dan Tobago ketika cuba memintas lawannya itu.

Atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu dilihat terbaring di trek dan tidak dapat meneruskan kayuhan, sekali gus gagal menamatkan perlumbaan, manakala Wallace mengakhiri saingan di tempat ketiga.

– BERNAMA


Pengarang :