(mengingati Melur dan Sham yang hidup sebelum Cahaya)
rahsia dan janji pecah di bahu laut
bulan mencium warna matamu
dan pantai
menjahit gaunnya dengan bunga-bunga liar yang tumbuh
di lehermu
ombakku, kau mendengar tangisku
kau membasuh setiap basah, koyak dan pecahku
tapi aku perempuan
lapar menelan dan mengunyah bunga di kepalaku
lantas kau memilih surut
malam tadi angkasa mengganggu tidurku membawa bisik bahawa
kau sekadar meminjamkan pasirmu
untuk aku ukir cerita-cerita kita sebelum
(diam-diam)
semua kau kambus semula
malam ini, lautku senyap
ketika malam jatuh dibunuh bintang
aku serah diri di bibir laut
melihat bayangku tenggelam dan
tidak lagi menjadi buih yang
(selalu)
mahu bergulung
di kakimu.
Cahaya Jais