KUALA LUMPUR, 20 MAC: Petaling Jaya, Bandaraya Diraja Klang dan Ampang Jaya di Selangor antara 20 Bandar Paling Bahagia Tahun 2025 menerusi Indeks Kebahagiaan Malaysia.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan lapan daerah dianugerahkan Bandar Paling Bahagia (Kategori Majlis Daerah) manakala 12 lagi bagi Kategori Majlis Bandaraya/Perbandaran pada Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan di Putrajaya.
“Bandar Lipis di Pahang dan Telupid di Sabah menerima anugerah sama bagi kategori Majlis Daerah selain Cameron Highlands (Pahang), Kuala Krai (Kelantan), Bandar Baharu (Kedah), Jerantut (Pahang) dan Jelebu (Negeri Sembilan),” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, bandar yang menerima anugerah berkenaan bagi kategori Majlis Bandaraya/Perbandaran ialah Bintulu (Sarawak), Temerloh (Pahang), Jasin (Melaka), Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru (Johor).
Turut menerima anugerah sama ialah Putrajaya, Bandaraya Melaka (Melaka), Port Dickson (Negeri Sembilan) selain Petaling Jaya, Bandaraya Diraja Klang dan Ampang Jaya (Selangor).
Sebanyak 153 Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan), Sabah serta Sarawak terlibat dalam Kajian Indeks Kebahagiaan iaitu 115 bandar (75 peratus) mencapai status bahagia manakala 38 lagi (25 peratus) mencapai status sederhana bahagia.
Kriteria indeks itu selaras dengan pengukuran kebahagiaan di peringkat dunia yang memfokus kepada tahap tekanan hidup, kesihatan, hubungan kekeluargaan serta kepuasan terhadap kemudahan dan kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh pemimpin setempat.
– BERNAMA