BUDAYARENCANA

Segala Jenis Ubat

Oleh Mudin Haiqal

 

Aku pernah meredakan dahaga seorang lelaki tua di tepi jalan. Sekadar cukup untuk segelas air.

Aku pernah menjadi pelengkap untuk memiliki ubat yang dibeli seorang ibu untuk anaknya yang demam panas teruk.

Pernah juga aku menolong membisukan perut seorang gadis yang sedang menjerit dengan sekeping roti.

Setiap kali aku nomad, diri ini menyaksikan penderitaan yang berbeza.

Dan dalam diam, aku menjadi penawar kecil bagi mereka yang memerlukan.

Tapi, benarkah aku ubat bagi segala jenis sakit?

Atau sekadar ilusi yang manusia ciptakan untuk menenangkan diri mereka sendiri?

Oh lupa.

Aku juga pernah dilepaskan dengan penuh kepercayaan lalu dijatuhkan ke dalam pancuran air yang beriak tenang.

Tenggelam ke dalam dasar pancuran air di Trevi, Roma.

Mereka menyebutnya bring a wish.

Satu ritual lama yang kononnya mampu mengikat harapan pada arus air.

Orang-orang datang dari seluruh pelosok dunia, berdiri membelakangi pancuran megah itu, lalu melemparkan aku ke dalamnya.

Kononnya, jika sekali aku jatuh, aku akan membawa mereka kembali ke kota ini. Jika dua kali, cinta sejati akan hadir. Dan jika tiga kali, impian besar mereka akan menjadi nyata.

Aku menjadi saksi bagi senyuman yang penuh harapan. Sinar untuk mata yang terpejam sambil bibir mereka melafazkan doa dalam bahasa yang berbeza-beza.

Tapi apa yang terjadi selepas itu? Adakah aku benar-benar membawa tuah?

Kadangkala, aku tidak dilempar ke dalam pancuran air. Tetapi diserahkan dengan penuh keikhlasan ke dalam sebuah kotak kayu yang tersembunyi di sudut rumah ibadat.

Masjid, gereja atau kuil.

Tempat-tempat di mana manusia datang dengan hati yang berat, mencari damai yang tidak dapat dibeli dengan apa pun, kecuali keikhlasan.

Aku pernah mendengar bisikan mereka sebelum aku dilepaskan ke dalam ruang yang gelap dan pengap itu.

“Semoga ini menjadi bekal di akhirat.”

“Ya Tuhan, ringankanlah ujian yang sedang menimpaku.”

“Untuk anak-anak yatim, semoga mereka tidak kelaparan malam ini.”

Setiap niat itu bergema dalam benakku. Aku tidak pernah tahu apakah doa-doa mereka diangkat ke langit atau tidak.

Tetapi aku tahu aku telah menjadi sebahagian daripada harapan itu.

Sekurang-kurangnya aku telah membantu menerangi lampu-lampu masjid, mengisi pinggan yang kosong dan memberi kesenangan kepada mereka yang kesempitan.

Namun, takdirku tidak selalu berada di tangan mereka yang berdoa.

Ada juga masanya, aku terperangkap di tempat di mana doa yang ikhlas digantikan kepada sumpah seranah.

Ada suatu masa aku terjelepuk di atas meja kayu yang dipenuhi noda tembakau. Diterangi cahaya suram lampu gantung yang berkelip lemah.

Sekeping kad terselit di antara jemari seorang lelaki dengan mata yang merah menyala.

Bukan kerana tangisan, tetapi kerana malam-malam tanpa tidur yang dipenuhi ketegangan. Nafas mereka berat, bau hanyir alkohol memenuhi udara.

Dan tangan aku jika aku punya tangan, pasti sudah berpeluh seperti mereka.

All in!” seru seseorang sambil menolak aku dan beberapa saudara-maraku ke tengah meja.

“Kau gila? Itu lauk makan engkau esok!” Seorang lagi membantah, tapi suaranya hanya samar-samar di tengah desiran kad yang dikocok.

“Diamlah. Malam ini aku bakal makan besar!”

Aku ingin berputar dan rebah dari meja ini, kembali ke dunia di mana aku menjadi pelita bagi mereka yang kesusahan.

Tapi aku tak punya kuasa untuk memilih ke mana aku pergi. Jika tadi aku adalah harapan di dalam kotak kayu kecil rumah ibadat, kini aku hanya sekadar alat untuk mempertaruhkan nasib.

Suatu ironi bagi diriku sendiri.

Aku terus menjadi pelarian. Hidup sering berpindah-randah. Daripada genggaman yang mengharapkan keberkatan kepada jari-jari yang menggeletar kerana ketagihan.

Daripada seorang anak kecil yang menyimpanku dengan penuh rasa gembira dalam tabung buluhnya, kepada seorang lelaki yang melemparku ke atas meja dengan perasaan putus asa.

Aku pernah digunakan untuk membeli sekeping roti bagi perut yang kelaparan, tetapi juga pernah menjadi syarat kepada sebuah perjanjian yang penuh tipu daya.

“Hanya duit kecil, tak berharga,” pernah aku dengar seseorang menggumam sebelum membiarkanku terbiar di atas meja kaunter.

Tapi betulkah aku tak berharga?

Jika aku terlantar lemah di atas jalan, akan ada tangan kecil yang berlari mengambilku, matanya bersinar seperti aku ini emas 916.

Jika aku dikumpulkan bersama ratusan yang lain, aku mampu menjadi bayaran untuk rawatan seorang ibu yang menghidap barah dikala sakratul maut membuat surat jemputan.

Pernah juga menjadi harga segulung kain kafan atau sekadar cukup untuk menutup tambang pulang seseorang ke kampung halaman.

Aku hanyalah sekeping recehan.

Kecil nilainya, namun tetap berputar dalam kitaran hidup manusia. Aku tidak punya kuasa untuk menentukan ke mana aku pergi.

Tetapi aku selalu percaya bahawa diri ini menjadi sebahagian daripada cerita mereka. Sebahagian besar itu daripada keputusan yang mereka buat sendiri.

Mungkin aku boleh menjadi segala jenis ubat.

Penawar bagi mereka yang memanfaatkanku dengan baik atau racun bagi mereka yang memilih jalan sebaliknya.

Segalanya bukan terletak padaku, tetapi pada mereka yang memegangku.

Dan aku akan teruskan hidup secara nomad. Takkan ada rumah yang kekal.

Mendengar doa, menyaksikan harapan, menjadi saksi kepada kebaikan dan keburukan manusia.

Hinggalah satu hari nanti, aku lusuh dan berkarat hingga dilupakan, lalu diganti dengan yang lebih baru. Malah lebih bernilai!

Aku selalu berpesan kepada diri sendiri, ‘Selagi aku masih di sini, aku tetap akan menjadi sebahagian daripada dunia mereka.’

Kerana diri aku ini hanyalah sekeping syiling kecil, aku sentiasa punya peranan dalam hidup mereka.


Pengarang :