Oleh Rafiqah Rauf
SHAH ALAM, 23 MAC: Sektor peruncitan berpotensi menjadi salah satu penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, penganjuran seperti Festival Raya Selangor Havoc 2025 di Pusat Konvensyen Setia City boleh menjadi pemangkin atau platform menggerakkan ekonomi ke arah lebih baik.
“Selangor merupakan tempat paling sesuai kerana selain kemampuan daya beli penduduk dan warganya, kemudahan atas talian yang meliputi hampir 70 hingga 80 peratus serta menjadi pusat ekonomi rancak, saya percaya sektor peruncitan boleh menjadi salah satu penyumbang ekonomi negeri pada hari ini dan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika perasmian festival itu malam tadi. Turut hadir EXCO Keusahawanan, Najwan Halimi.

Sementara itu Amirudin berkata, penganjuran festival itu membuktikan keperluan pengalaman membeli-belah secara fizikal meskipun dunia perniagaan kini semakin berkembang dalam talian.
“Inilah kehidupan atau suasana baharu perniagaan, di mana ia bukan hanya secara fizikal, tetapi berlangsung dengan begitu rancak dan begitu baik di atas talian.
“Saya percaya penganjuran festival ini sangat diperlukan walaupun kita sudah beralih dalam platform atas talian atau e-dagang.
“Kerana akhirnya pelanggan ingin merasai serta melihat produk secara fizikal sebelum membuat pilihan membeli, apatah lagi kita sudah makin dekat dengan musim perayaan,” katanya.

Amirudin menambah, penganjuran festival itu juga bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk tempatan, tetapi turut menarik kedatangan pelancong dari negeri lain ke Selangor.
“Kebetulan tahun ini merupakan Tahun Melawat Selangor 2025 dan program seperti ini menjadi salah satu tarikan bukan hanya kepada rakyat Selangor, tetapi masyarakat dari negeri lain untuk menikmati suasana membeli-belah yang diketengahkan dalam festival ini,” katanya.
Festival Raya Selangor Havoc 2025 dianjurkan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Havoc Event & Management Sdn Bhd. Ia diadakan selama 108 jam tanpa henti dari 21 hingga 25 Mac ini.
Festival itu menghimpunkan 180 vendor yang menjual pelbagai persiapan Aidilfitri dengan sasaran kehadiran 2.5 juta pengunjung.


