SHAH ALAM, 20 MAC: Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan harga rendah berbanding pasaran luar akan dianjur di ST Rosyam Mall, Jalan Kebun bagi membantu lebih ramai penduduk berbelanja.
Pengarah urusan Kumpulan Sri Ternak berkata jualan itu selepas melihat sambutan memberangsangkan terhadap program yang sebelum ini dilaksanakan di beberapa cawangan pasar raya miliknya.
“Kita memang pernah anjur sebelum ini dan akan perluaskan JER di sini supaya mudahkan rakyat berbelanja dengan harga murah. Inisiatif akan diteruskan untuk bantu lebih ramai rakyat.
“Misi dan matlamat syarikat dengan Kerajaan Negeri sama. Kita mahu mudahkan akses berbelanja pada harga murah sekali gus mampu bantu kurangkan kos sara hidup,” kata Datuk Raymond Ho Cheng Han semalam.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan kompleks beli-belah pertama milik ST Rosyam di Jalan Kebun yang beroperasi 24 jam sepanjang tahun.

Sementara itu pelakon terkenal yang juga Pengarah ST Rosyam Mart, Datuk Rosyam Nor menganggap kerjasama terjalin antara pihaknya dengan pentadbiran negeri sebagai satu pencapaian besar.
“Kami dipilih untuk bersama-sama anjurkan JER bermakna negeri mengiktiraf usaha dan misi kami dalam membantu rakyat yang memerlukan,” katanya.
Menerusi belanjawan tahun ini, Selangor memperuntuk RM30 juta bagi pelaksanaan JER. Pentadbiran negeri turut menyasarkan pembukaan 10 premis Ehsan Mart menjelang akhir tahun ini.
Cawangan pasar raya tersebut telah beroperasi di Sungai Tua, Pandan Indah dan bakal dibuka di Hulu Kelang.
Pasar raya kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor itu menawarkan barangan asas pada harga 10 hingga 15 peratus lebih rendah daripada pasaran.
Ehsan Mart yang diwujudkan sebagai penambahbaikan program JER turut menyasarkan pembukaan di 56 kawasan DUN menjelang 2027.