SHAH ALAM, 25 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 100 tong sampah pukal (roro) secara percuma di kawasan seliaannya bagi memudahkan orang ramai membuang sampah dan melancarkan operasi pengurusan sampah sempena Aidilfitri.
Pemangku Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Madiyan Baweh berkata sebahagaian daripada tong roro telah mula ditempatkan di lokasi strategik dan mudah diakses oleh pengguna sebelum dipenuhi secara berperingkat dalam masa terdekat.
“Pada masa ini MBSA sedang fokus meletakkan tong roro di 384 lokasi terpilih secara berperingkat bermula 7 hingga 30 Mac merangkumi 24 zon sempena Program Spring Cleaning roro 2025.
“Untuk tong roro yang diletakkan sempena Aidilfitri, orang ramai disaran supaya tidak menggunakannya untuk membuang sampah-sampah pukal,” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Prihatin Warga Tertua @ Penduduk Asal sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Kampung Padang Jawa di sini hari ini.
Madiyan berharap penduduk dapat memberi kerjasama membuang sampah ke dalam tong roro yang disediakan bagi memudahkan pihak MBSA membuat gantian apabila sudah penuh, sekali gus memastikan kawasan sekitar sentiasa bersih dan terjaga.
Terdahulu, pada program itu, Madiyan turut menziarahi tiga daripada 50 penerima yang juga warga emas berusia 80 tahun dengan setiap mereka menerima barangan keperluan asas serta wang tunai RM100.
– BERNAMA