SHAH ALAM, 11 APRIL: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung satu video tular memaparkan kejadian ragut di hadapan sebuah pasar raya di Setia Alam, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan dibuat mangsa pada 2.08 petang semalam, yang mendakwa diragut selepas selesai membeli barang di pasar raya 99 Speedmart, Setia Alam dekat sini.
Beliau berkata berdasarkan laporan, kejadian berlaku ketika mangsa dan isteri ditegur seorang lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC berwarna merah, yang memaklumkan telah terlanggar bahagian hadapan kereta mangsa sehingga mengalami kerosakan.
“Mangsa kemudiannya terus membuat pemeriksaan pada motokarnya dan semasa pemeriksaan sedang dijalankan, tiba-tiba lelaki tersebut telah bertindak menarik rantai leher mangsa dari arah belakang dan terus melarikan diri.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kerugian dianggarkan lebih kurang RM11,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Iqbal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Muhammad Naqiuddin Nawawi, di talian 012-3848103 bagi membantu siasatan.
– BERNAMA