SHAH ALAM, 15 APRIL: Skop pelan lima tahun Rancangan Selangor Kedua (RS-2) akan diperluas bagi memperkemaskan hala tuju pembangunan termasuk mengekalkan daya tahan negeri.
Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) berkata kerangka lima tahun bermula 2026 dilebarkan kepada pembangunan infrastruktur awam, perusahaan kecil sederhana, penambahbaikan dasar, akses kepada pembiayaan serta pembangunan berasaskan geografi.
“Laporan akhir RS-2 yang dijangka dikeluarkan pada Disember nanti dilebarkan skop supaya hala tuju pembangunan negeri dapat dilaksana seiring dengan keadaan semasa.
“Contohnya kejadian letupan di Putra Heights yang menjejaskan bekalan gas kepada industri, kita perluas dalam RS-2 dan bekerjasama dengan industri serta utiliti supaya pembekalan pembangunan tenaga mampan di Selangor,” kata Dato’ Johary Anuar ditemui pada sesi bengkel strategik RS-2 di sini, semalam.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan RS-2 yang bakal menjadi hala tuju baharu pembangunan negeri mulai 2026 akan dibentang tahun depan.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerangka itu antaranya memberi tumpuan kepada jajaran rel Selangor yang bakal meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam, kereta api di utara dan selatan negeri.
Rancangan Selangor Pertama (RS-1) diumum pada Julai 2022 di Dewan Negeri Selangor (DNS) bertujuan membentuk ekonomi mampan dan cekal demi menjamin kesejahteraan rakyat selain mencapai hasrat negeri menyumbang 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.
Melibatkan beberapa projek besar antaranya Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), ia juga merupakan pelan mendepani ekonomi global yang dijangka perlahan tahun hadapan.
Empat teras strategik RS-1 meliputi pengukuhan sektor ekonomi, membina kesejahteraan rakyat dan keterangkuman sosial, memacu agenda kelestarian serta peningkatan kecekapan tadbir urus.