SELANGOR

PAKATAN diramal kekal di Selangor

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 6 APR: Pakatan Harapan (Pakatan) dijangka akan terus mentadbir Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Beliau berkata, hal itu kerana kajian Landskap Politik Selangor 5.0, pada Mac lalu menunjukkan peningkatan dalam kalangan penyokong Pakatan dari 33 peratus kepada 41 peratus.

“Jika situasi sebegini berterusan dalam PRU14, ini sudah pasti menggugat pengaruh Barisan Nasional (BN),” katanya pada Program Survei Malaysia 2018: Siapa Pilihan Rakyat Malaysia, di Auditorium IDE, di sini, semalam.

Katanya, Pakatan juga meraih sokongan kuat daripada masyarakat luar bandar iaitu Melayu 61 peratus, sementara Cina dan India masing-masing 66 peratus dan 50 peratus.

Pada masa sama, beliau berkata, persempadanan semula kawasan pilihan raya diyakini tidak memberi kesan terhadap sokongan rakyat kepada Pakatan, di Selangor.

“Walaupun persempadanan semula dibuat dengan andaian pengundi Melayu akan menyokong BN tetapi kajian kita mendapati sokongan lebih kepada Pakatan khususnya di bandar dan pinggir bandar.

“Begitu juga dengan sokongan pengundi Cina dan yang lain tetapi sokongan kepada BN hanya dilihat memihak di kawasan luar bandar,” katanya.

Dr Mohammad Redzuan berkata, kajian dibuat pada awal Januari lalu mendapati sebahagian besar pemilih membuat keputusan parti dan calon mana yang menjadi pilihan.

“Dengan hasil kajian ini, kita mengandaikan tidak mudah bagi BN mengambi lalih Selangor.

“Ia diperkukuhkan lagi dengan kewibawaan dan kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :